Thursday, June 06, 2013

Penganjuran Acara Sukan Semarak Budaya Ke Arah Gaya Hidup Sihat - Khairy

PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Penganjuran acara sukan di negara ini mampu membantu kerajaan menyemarakkan lagi budaya sukan di kalangan rakyat ke arah gaya hidup yang sihat, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia, yang mula diperkenal pada 1963, mampu menarik lebih ramai rakyat di negara ini melibatkan diri dalam acara sukan berbasikal secara kompetitif mahupun riadah.

"Hasil kajian sebuah jurnal perubatan terkemuka dunia, The Lancet, mendedahkan bahawa kadar tidak aktif di kalangan dewasa di Malaysia pada tahap 61 peratus.

"Hasil tinjauan Kementerian Kesihatan pula mendapati hanya 25 peratus rakyat Malaysia yang bersenam," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran laluan perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 di Dewan Serbaguna, Kementerian Belia dan Sukan di sini Rabu.

"Dalam aspek sukan berbasikal, sungguhpun tidak sepopular di negara luar seperti Denmark, namun minat terhadap aktiviti berbasikal jelas kelihatan dengan peningkatan jualan dan aktiviti riadah berbasikal di kalangan masyarakat kini," katanya.

Perlumbaan Jelajah Malaysia 2013, yang melibatkan lima peringkat, akan berlangsung dari 26 hingga 30 Jun ini.

"Penganjur akan membawa Jelajah Malaysia kali ini ke bahagian selatan tanah air bagi memberi peluang kepada peminat sukan lumba basikal di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menyaksikannya," kata Khairy.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), memilih laluan di negeri berkenaan selepas penganjur perlumbaan Le Tour de Langkawi membawa perlumbaan itu ke negeri di utara dan pantai timur Semenanjung pada Februari lepas.

Perlumbaan peringkat pertama akan bermula dari Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil ke Rembau, Negeri Sembilan sejauh 187.7 kilometer diikuti Rembau-Batu Pahat, Johor (197.6 km), Batu Pahat-Pontian (94.7 km), Johor Baharu-Melaka (206.3 km) dan Melaka-Putrajaya (169.8 km).

Perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 mendapat pengiktirafan kategori 2.2 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan menjadi sebahagian kalendar 2012-2013 UCI Asia Tour.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment