Monday, June 17, 2013

Peletakan jawatan Revington merugikan negara - Zolkples

KANGAR - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zulkples Embong menyifatkan perletakan jawatan mengejut ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Paul Revington boleh menyebabkan 'kerugian' buat negara.

Sambil melahirkan kekecewaannya dengan perkhabaran terbaru itu, beliau berkata, ini kerana sepanjang membimbing pasukan berkenaan, Revington berjaya membentuk sebuah skuad hoki kebangsaan yang cukup mantap.

"Dengan tempoh untuk menghadapi Liga Hoki Dunia cuma tinggal tidak berapa hari lagi, sudah tentu ia boleh menjejaskan persiapan, kerana dalam masa singkat, bukan mudah bagi seseorang jurulatih baharu mempersiapkan pasukan biar sebagus mana pun.

"Ini kerana Revington sudah mencorak sebuah pasukan, malah saya pernah bertanya dengan pemain, mereka mengatakan tiada masalah dengannya, berpuas hati dengan corak latihan jurulatih berkenaan walaupun ia agak keras sedikit," kata beliau kepada media ketika mengunjungi rumah Che Azni Che Ani di Kampung Tanjung di sini semalam.

Dalam kunjungan tersebut Zolkples menyampaikan insuran berkelompok dan sumbangan MSN yang keseluruhan berjumlah RM32,500 kepada Che Azni, bapa pemain hoki pelapis negara, Mohamad Akmal Daniel, 11, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di sini, April lalu.

Zolkples mengulas laporan akhbar semalam mengenai isu pengendali kelahiran Afrika Selatan itu yang menghantar emel kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk meletak jawatan serta merta.

Revington dilaporkan mengambil keputusan tersebut merta selepas dikatakan tidak mendapat kerjasama daripada jurulatih remaja, K. Dharmaraj dan Pengarah Program Pembangunan 1Malaysia, Lim Chow Chuan selain kedua-duanya didakwa mencampuri urusannya mengendalikan skuad kebangsaan.

"Sudah tentu saya kecewa jika dia benar-benar meletak jawatan kerana saya turut terlibat dalam urusan sewaktu 'melamar' Revington sebagai jurulatih berdasarkan prestasinya ketika membimbing Ireland, pasukan yang menyekat Malaysia di Dublin dalam kelayakan ke Sukan Olimpik, " katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan menemui semua pihak yang terlibat dalam pasukan hoki kebangsaan termasuk pihak pengurusan sekembalinya daripada tugas di luar Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

"Saya juga akan mengadap Presiden MHC, Tuanku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung perkara ini sebelum memberikan ulasan selanjutnya," tambah beliau.

Mengenai masalah yang didakwa berlaku, Zulkples berkata, beliau terkejut kerana sebelum ini diberitahu masalah antara Revington, Dharmaraj dan Chow Chuan telah selesai tetapi kemudiannya berlaku lagi.

"Tentang Revington, kita cuma berharap dia terus menajdi jurulatih skuad kebangsaan tetapi kita tidak boleh paksa, kerana kalau kita paksa dia melatih kembali dalam keadaan dirinya tidak selesa, ia membawa kesan tidak baik pula kepada pasukan, jadi terpulang kepadanya," kata Zulkples.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment