Friday, June 21, 2013

‘Nak derma, boleh bincang...’


Kuala Lumpur: “Setiap tahun (kewangan) kami diaudit dan laporan dikeluarkan setiap tahun”.
Itu reaksi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika ditanya mengenai wang tajaan Liga Malaysia (Liga M) berjumlah RM30 juta semusim yang diterima badan induk negara itu.

Tajaan RM30 juta itu ditimbulkan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa susulan masalah kewangan yang menghimpit beberapa ahli gabungan FAM dengan beliau mempersoalkan ke mana perbelanjaan membabitkan dana berkenaan disalurkan.
“Saya tidak terbabit dalam urusan kewangan FAM namun saya tahu terdapat penajaan yang diagihkan kepada semua seperti diputuskan. Kalau nak tanya lebih maklumat, anda perlu tanya Jawatankuasa Kewangan FAM,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengaku jumlah RM30 juta tidak mencukupi kerana Presiden FAM Sultan Ahmad Shah turut terpaksa mengeluarkan duit sendiri.

“Kalau ada Tan Sri atau Datuk yang mahu menderma, kita boleh bincang.” Mengenai dakwaan terbaru Annuar yang mempersoal penghantaran Harimau Muda A ke Eropah sekali gus dilihat sebagai membuka peluang kepada ejen berkenaan membuat urus niaga menguntungkan selain menjadi alasan kepada pegawai dan isteri berulang-alik atas alasan pergi melihat pasukan berlatih, Tengku Abdullah berkata, beliau tidak berani membuat spekulasi.

FotoTENGKU Abdullah (kanan) ketika majlis minum petang bersama skuad hoki negara, semalam.
“Saya tidak terbabit dalam hal ini, kita hanya putuskan dasar persatuan. Ini semua pengurusan, saya tidak tahu. Saya tidak suka tuding jari dan tuduh-menuduh, bukan cara saya.” Mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang hanya mahu berjumpa dengan pemimpin FAM yang boleh membuat keputusan seperti dirinya, Tengku Abdullah sedia bertemu siapa saja untuk sebarang urusan.

“Siapalah saya, saya sedia berjumpa sesiapa sekalipun.”



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment