Friday, June 07, 2013

Minta velodrom dipercepatkan


Seremban: Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) berharap cadangan membina velodrom tertutup yang dirancang di Nilai, Negeri Sembilan dipercepatkan supaya aktiviti pembangunan sukan itu serta penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa dapat dijalankan.
Timbalan Presiden PLBNS Yunus Ibrahim berkata, pihaknya menanti pembinaan velodrom itu menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat kerana PLBNS dalam usaha menjadikan persatuan itu setanding dengan persatuan lain di peringkat antarabangsa.

Katanya, Negeri Sembilan sudah berjaya melahirkan ramai pelumba muda berbakat dan mampu menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa hasil program pembangunan berterusan yang dijalankan selama ini.
“Justeru, dengan adanya velodrom tertutup itu, sudah tentu program pembangunan sukan berbasikal negara dan Negeri Sembikan dapat dilaksanakan dengan lebih mantap, melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf antarabangsa.

“Ini kerana kemudahan itu akan dapat digunakan sebagai pusat latihan bagi pelumba mencapai prestasi terbaik sebelum menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Walaupun ada cadangan pihak lain untuk membina velodrom tahap satu di Kuala Lumpur, namun PLBNS berharap rancangan awal membina kemudahan itu di negeri ini dapat direalisasikan,” katanya.

Yunus berkata, setakat ini PLBNS berjaya melahirkan beberapa pelumba muda bertaraf antarabangsa antaranya Amirul Anuar Jefri, Mohd Ekbar Zamanhuri, Ahmad Fahmi Farhan Ahmad Fuat dan Abdul Rashid Ibrahim yang beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 sekali gus memperlihatkan petanda positif terhadap perkembangan kemajuan sukan itu di negeri Adat Perpatih itu.

Katanya, bagaimanapun pencapaian itu belum mencukupi kerana banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk membantu negara melakar kejayaan di persada dunia.
“PLBNS dengan sokongan kerajaan negeri akan terus berusaha membangunkan sukan lumba basikal di negeri ini termasuk mengadakan lebih banyak kejohanan tempatan bagi mencungkil bakat baru selain misi lebih besar meletakkan PLBNS sebaris dengan kelab lumba basikal antarabangsa.”



Oleh Mohd Amin Jalil, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment