Friday, June 07, 2013

Malaysia Naik Dua Anak Tangga Dalam Ranking Terbaru FIFA

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Malaysia naik dua anak tangga kepada 159 bulan ini berbanding 161 bulan lepas pada senarai ranking terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Khamis.

Ketiadaan perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal sejak kebelakangan ini tidak mengugat kedudukan mereka dalam ranking dunia.

Pada Januari, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158, Feb (159), Mac (164) dan April (163).

Kedudukan terbaru itu meletakkan pasukan kebangsaan setanding dengan beberapa pasukan lain seperti Palestin (151), Bangladesh (152), Lesotho (153) dan Maldives (157).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia terus kekal berada di tangga kelima di belakang Vietnam (133), Thailand (142), Filipina (144) dan Myanmar (155).

Di peringkat Asia, Malaysia kekal pada kedudukan ke-31 daripada 46 negara.

Sementara itu, juara Euro 2012, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,614 mata.

Jerman dan Argentina turut mempertahankan kedudukan selaku pasukan kedua dan ketiga terbaik dunia apabila masing-masing mengutip 1,416 dan 1,287 mata.

Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment