Monday, June 10, 2013

Malaysia Gagal Beraksi Di Divisyen Satu Ragbi Lima Negara Musim Depan

PETALING JAYA, 8 Jun (Bernama) -- Singapura menafikan hasrat Malaysia untuk beraksi dalam Divisyen Satu Kejohanan Ragbi HSBC Lima Negara Asia apabila menumpaskan pasukan tuan rumah 20-17 pada perlawanan akhir Divisyen Dua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Sabtu.

Pada perlawanan itu, skuad negara bermula cemerlang apabila mendahului Singapura 9-7 pada separuh masa pertama hasil tiga sepakan penalti yang disempurnakan pemain posisi 'outside half' Nazreen Fitri Nasruddin, masing-masing pada minit ke-14, 29 dan 37.

Tujuh mata pasukan negara jiran itu, yang dibimbing Inoke Afeaki, disumbang menerusi 'try' pemain posisi lock Daniel Mark Chow pada minit ke-32 (lima mata) dan sepakan 'conversion' yang disempurnakan pemain posisi 'scrum half' Suhaimi Amran, seminit kemudian.

Bersambung separuh masa kedua, Singapura mengubah corak permainan dengan banyak melakukan serangan ke kubu Malaysia dan hasilnya, mereka mendahului dengan 14-9 pada minit ke-46 menerusi 'try' pemain posisi tengah Blandon Tan.

Pemain sayap kebangsaan Anwarul Hafiz Ahmad mengurangkan defisit mata kepada 14-12 menerusi sepakan penalti pada minit ke-55, namun Suhaimi kembali menjarakkan kedudukan 17-21 menerusi sepakan penalti pada minit ke-72.

Bagaimanapun, kapten pasukan Malaysia Mohd Syahir Asyraf Rosli menyamakan kedudukan 17-17 selepas melakukan 'try' pada minit ke-80, sekali gus membawa perlawanan ke masa tambahan.

Suhaimi muncul wira Singapura apabila menambah tiga mata menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan di dalam kotak penalti Malaysia untuk memberikan kemenangan 20-17 kepada pasukan itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Terdahulu, pada perlawanan akhir Divisyen Tiga, Qatar yang dibarisi hampir keseluruhan pemain asing, berjaya menundukkan Guam dengan keputusan 13-7.

Kemenangan itu membolehkan mereka layak beraksi dalam Divisyen Dua tahun depan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment