Thursday, June 13, 2013

Malaysia Alami Kekalahan Ketiga Menentang Afrika Selatan Dalam Siri Perlawanan Ujian

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Skuad hoki kebangsaan mengalami kekalahan ketiga dalam perlawanan ujian terakhir apabila tewas 1-3 kepada Afrika Selatan di Stadium Hoki Randburg di Johannesburg, Afrika Selatan, Selasa.

Afrika Selatan di bawah bimbingan Charlie Pereira sebelum ini memenangi dua perlawanan ujian menentang Malaysia dengan keputusan 2-1 dan 3-1 dan seri 4-4 pada aksi ketiga, Ahad lepas.

Pada perlawanan terakhir, Afrika Selatan membuka tirai jaringan menerusi pukulan penalti oleh Wade Paton pada minit ke-15 selepas Clint Panther dikasari di pintu gol Malaysia, menurut Persatuan Hoki Afrika Selatan dalam laman webnya www.sahockey.co.za hari ini.

Pierre de Voux menambah tekanan kepada skuad kebangsaan apabila melepaskan pukulan kencang untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Kairulnizam Ibrahim, pada minit ke-55.

Dua minit kemudian, Malaysia merapatkan jurang jaringan menerusi Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil selepas menerima hantaran daripada Chua Boon Huat.

Bagaimanapun, Afrika Selatan mengesahkan kemenangan pada minit-minit terakhir perlawanan menerusi jaringan Julian Hykes.

Siri perlawanan ujian itu adalah sebahagian daripada rancangan ketua jurulatih Paul Revington untuk mempersiapkan skuad negara menghadapi saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Baharu dari 29 Jun hingga 7 Julai ini.

Empat pasukan terbaik di Johor Baharu akan layak ke ke Piala Dunia di India tahun depan.

Selain Malaysia, selaku tuan rumah, tujuh lagi pasukan terbaik dunia akan berentap pada liga tersebut iaitu pasukan yang kini berada pada ranking pertama, Jerman, Korea Selatan, Pakistan, Jepun, England, Argentina dan Afrika Selatan.

Selain di Johor Baharu, lapan lagi pasukan turut berrtanding pada kejohanan sama di Rotterdam, Belanda, bermula esok hingga 23 Jun ini.

Lapan pasukan tersebut ialah India, Ireland, New Zealand, Australia, Belgium, Sepanyol dan Perancis dan tuan rumah Belanda.

Empat pasukan terbaik di Johor Baharu dan Rotterdam akan layak ke Piala Dunia 2014 di India pada Februari depan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment