Thursday, June 06, 2013

Lim Kim Chon Setuju Tidak Sambung Kontrak Menerusi Sepucuk Surat - FAM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan bahawa Pengarah Teknikal Lim Kim Chon telah mengemukakan hasratnya untuk tidak menyambung kontrak bersama badan induk bola sepak kebangsaan itu.

FAM dalam kenyataan hari ini berkata hasrat berkenaan disampaikan oleh Kim menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada FAM, sebulan sebelum tempoh kontraknya berakhir.

Kontrak Lim yang juga Ketua Pembangunan Bola Sepak Remaja Kebangsaan bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara ialah selama dua tahun dari 1 Jun 2011 hingga 31 Mei lalu.

"Hasrat beliau (Lim) juga telah disampaikan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong," demikian menurut kenyataan itu.

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini dilaporkan berkata Kim mendakwa bahawa beliau masih belum menerima kata putus mengenai lanjutan kontrak beliau bersama badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Dalam laporan berkenaan, Kim turut dipetik sebagai berkata rombakan kabinet baharu termasuk Kementerian Belia dan Sukan menjadi punca kelewatan perbincangan untuk lanjutan kontrak beliau bersama FAM.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment