Wednesday, June 12, 2013

Kumar sah cabar Kok Chi

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama memegang jawatan Setiausaha Kehormat, buat kali pertama Datuk Sieh Kok Chi menerima tentangan satu lawan satu dalam usaha mempertahankan jawatan disandang selama 22 tahun itu pada pemilihan Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 22 Jun ini.

Seperti dijangka, T Kumar yang juga Penolong Setiausaha MOM yang disebut-sebut mahu mencabar Kok Chi, menyahut cabaran itu selepas menerima dua pencalonan daripada persatuan sukan kebangsaan.

Keputusan Kumar itu disifatkan luar biasa kerana dengan pengalaman Kok Chi, pasti sukar untuknya merampas kerusi yang sudah sekian lama disandang tokoh berusia 74 tahun itu.
Namun Kumar tetap tidak berganjak dengan keputusannya sambil menegaskan tidak timbul isu mahu mencetuskan situasi tegang di dalam MOM.

“Pada mulanya saya mahu bertanding kerana Kok Chi sendiri mengumumkan untuk bersara, tidak sebaliknya berlaku.

“Saya tetap meneruskan niat ini kerana mendapat pencalonan daripada dua persatuan sukan. Sudah tentu mereka mahukan pembaharuan dan itulah juga yang saya mahu lakukan.
“Soal sama ada saya mampu memikul tugas Setiausaha Kehormat sepatutnya tidak timbul kerana dengan pengalaman selama ini termasuk sebagai Penolong Setiausaha MOM, saya fikir ia sudah cukup untuk menggalas tugas ini.

“Cuma sekarang terpulang kepada semua perwakilan, jika mahukan perubahan dalam MOM, mereka boleh pilih saya, jika tidak, tak apalah,” katanya.
Pencalonan Kumar diterima panel pilihan raya MOM diketuai Datuk Noorminshah Sabirin yang juga bekas Naib Presiden MOM, semalam.

Turut menarik perhatian pada sidang media yang diumumkan Noorminshah ialah keputusan Naib Presiden Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim mencabar kerusi Timbalan Presiden yang kini disandang Datuk A Sani Karim.

Jawatan Naib Presiden turut menyaksikan perebutan hangat apabila lapan calon bertanding merebut lima kerusi dipertandingkan.

Antara muka baru tampil mencabar termasuk Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalif serta Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Paduka Mumtaz Abdul Jaffar.

Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar pula yang memegang jawatan Presiden MOM tidak dicabar.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment