Tuesday, June 18, 2013

Khairy tak mahu bazir wang rakyat


Putrajaya: Masih belum ada sebarang keputusan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung pembinaan velod rom tertutup bertaraf antarabangsa.

Beliau menegaskan, biarpun ada sentimen kenegerian berhubung pembinaan velodrom itu di Negeri Sembilan, Khairy berkata banyak aspek perlu diambil kira kerana ia wang rakyat. Katanya, apa yang dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad adalah tidak tepat justeru beliau sudah meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong untuk menegur Naim.

“Kenyataan yang dibuat Naim bukan pada tempatnya kerana keputusan pembinaan velodrom itu adalah keputusan kerajaan dan KBS.

“Saya tidak hadir pada perbincangan minggu lalu dan ia hanya di peringkat awal perbincangan berhubung pembinaan velodrom itu sama ada di Nilai atau mengikut cadangan daripada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) di Cheras.

“Biarpun ada sentimen kenegerian, ini adalah duit rakyat tapi sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya perlu melihat perkara ini secara menyeluruh kerana jika dapat bina dua buah velodrom siapa yang tak nak, tapi kerajaan juga ada kekangan,” katanya. Sebelum ini, Naim pernah mengeluarkan kenyataan cukup hanya satu velodrom bertaraf dunia dibina dengan bajet selebihnya disalurkan kepada negeri-negeri bagi membina velodrom asas untuk kemudahan latihan pelumba di setiap negeri.

Sukan berbasikal negara sebelum ini menerima perkhabaran gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan velodrom pada Bajet 2013. Namun perkara itu turut mendapat perhatian DBKL yang berhasrat mahu meruntuhkan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dan menggantikannya dengan velod rom tertutup bernilai RM80 juta yang dijangka dibina berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras.


Oleh Aida Adilah Mat, Arena - MyMetro

No comments:

Post a Comment