Tuesday, June 04, 2013

Kepenatan jejaskan terjunan Pandelela

PANDELELA merupakan atlet wanita pertama negara yang berjaya meraih pingat pada Sukan Olimpik di London tahun lalu.


DI SEBALIK prestasinya yang menjunam dalam acara 10 meter platform individu, tiada siapa yang menyedari betapa padatnya jadual kejohanan yang perlu dihadapi oleh ratu terjun negara, Pandelela Rinong.

Selepas Kejohanan Terjun Siri Dunia (DWS) menambah dua lagi sirkit kejohanan menjadi enam pusingan musim ini, sudah tentu keletihan dan tumpuan Pandelela sedikit terjejas.
Laluan DWS musim ini yang bermula di Beijing pada Mac, diteruskan di Dubai pada minggu berikutnya sebelum menjengah Edinburgh.

Bulan April menyaksikan atlet kelahiran Sarawak itu mengerah tenaga di Moscow, Rusia sebelum meneruskan saingan di Guadalajara di mana dua sirkit DWS dilangsungkan di bandar raya Mexico itu.
Apa yang menarik, daripada 14 penerjun wanita yang menyertai acara 10m platform individu, Pandelela membuktikan kredibilitinya dengan menjadi antara dua penerjun sahaja yang menamatkan keenam-enam sirkit itu.

"Secara jujur, ia amat meletihkan kerana buat pertama kali tahun ini, saya menyertai paling banyak kejohanan. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai alasan untuk menolak," kata penerjun berusia 20 tahun itu.

"Saya akui, persembahan saya agak terjejas tetapi demi negara, saya perlu mengharunginya dengan apa yang termampu. Lebih banyak kamu menyertai kejohanan, lebih banyak yang akan kamu belajar.
"Saya akui, sepanjang enam sirkit yang disertai, walaupun saya agak letih, saya banyak belajar dan mendapat pendedahan. Jadi, pengorbanan saya berbaloi," tambah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 London itu.

Malahan, jurulatih, Yang Zhuliang (gambar kecil) langsung tidak bimbang dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak didiknya itu.

Walaupun gagal menyai- ngi rekod pencapaian yang dilakar sewaktu menyertai Sukan Olimpik 2012 lalu serta meraih satu gangsa di DWS Beijing, Zhuliang yakin Pandelela akan bangkit.
"Saya langsung tidak bimbang walaupun menyedari Pandelela terpaksa melalui jadual yang begitu padat sejak beberapa bulan lalu," jelas Zhuliang.

"Dia bukan sahaja melengkapkan sirkit kejohanan tetapi turut menyertai Grand Prix di Amerika Syarikat. Ini menjadikan tujuh kejohanan yang dilalui Pandelela sejak Mac hingga Mei tahun ini.
"Jangan lupa juga, dia juga bersaing dalam dua acara pada setiap kejohanan DWS. Jadi, jangan salahkan dia kalau prestasi tidak seperti yang diharapkan," ulas jurulatih dari China itu.
Mengakui anak didiknya itu berada dalam keletihan, Zhuliang tetap memuji komitmen yang ditunjukkan Pandelela sepanjang kejohanan tersebut.

"Kurang daripada sebulan, kami akan berdepan Kejohanan Dunia di Barcelona pada Julai nanti. Hanya selepas itu, kami tiada kejohanan lain dan saya akan pastikan Pandelela mendapat rehat yang secukupnya.

"Walau apa pun keadaan Pandelela, saya mempunyai keyakinan yang amat tinggi terhadapnya. Dia akan bangkit selepas ini," tegas Zhuliang.

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment