Monday, June 03, 2013

Kelantan hanya mahu piala


HODAK (kanan) hanya memikirkan untuk mengekalkan Piala FA di bumi Kelantan musim ini.


MEMENANGI sekurang-kurangnya satu piala musim ini menjadi sasaran jurulatih Kelantan, Bojan Hodak apabila mereka turun menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) pada perlawanan akhir Piala FA 29 Jun ini.

Menurutnya, misi tersebut adalah lebih penting berbanding soal maruah untuk menebus kekalahan 0-2 di tangan Johor DT pada aksi Liga Super di Johor Bahru serta seri 1-1 ketika mereka beradu di Kota Bharu sebelum itu.

Sambil menyifatkan pertembungan antara The Red Warriors dan Johor DT sebagai satu perlawanan akhir yang menjadi impian ramai pemerhati dan peminat bola sepak seluruh negara, Hodak juga menganggap ia memudahkan lagi tugasnya sebagai seorang jurulatih.

“Saya gembira apabila kita akan turun menentang mereka (Johor DT) pada perlawanan akhir. Semua orang tahu Johor DT merupakan pasukan yang dipenuhi 'bintang' dan saya fikir, ia secara automatik memberi motivasi yang baik untuk pemain saya menghadapi perlawanan tersebut.

“Ia bukan sekadar berkisar kepada soal maruah kedua-dua pasukan, tetapi apa yang lebih penting buat saya sekarang ialah untuk menang satu piala musim ini. Soal sama ada mereka (pemain) fikir untuk mendapat imbuhan itu tidak menjadi masalah yang penting, kita mahu bermain untuk mendapatkan piala,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, beliau begitu mengimpikan perlawanan akhir untuk menentang Johor DT kerana sudah pasti stadium akan dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan, dan secara tidak langsung akan menaikkan semangat para pemain.

Katanya, peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang dan The Red Warriors dilihat mempunyai kelebihan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan Kelantan dan perlawanan akhir adalah cukup sinonim, dan berharap ia mampu untuk menjadikan para pemainnya lebih tenang.
“Kita seri di Kota Bharu sebelum ini kemudian tewas di Johor Bahru dalam dua pertemuan awal, mungkin pertemuan kali ketiga ini akan berpihak kepada kita. Jika ia benar berlaku, saya fikir ia cukup manis kerana kita menewaskan Johor DT dan memenangi piala.

“Persiapan rapi sudah pasti akan kita lakukan, sesi latihan akan bermula esok (hari ini) selepas pemain diberikan rehat selama tiga hari. Saya harap Dickson Nwakaeme dan Azizi Mat Rose akan segera pulih dan menjalani latihan untuk persiapan menjelang perlawanan akhir ini,” ujarnya.
 
 
Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment