Monday, June 03, 2013

Johor DT Tamat Penantian 15 Tahun Ke Final Piala FA

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain kerana telah berusaha keras membawa pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) berjaya menamatkan penantian selama lima belas tahun untuk mara ke final Piala FA," kata jurulatih Fandi Ahmad.

Beliau menyifatkan kemenangan ini adalah satu detik bersejarah bagi pasukannya yang kali terakhir layak ke final Piala FA pada 1998 dan muncul juara selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di laman sendiri.

Skuad Harimau Selatan layak ke final meskipun tewas 1-2 ke atas Pahang pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan agregat 2-2 berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan.

"Walaupun ketinggalan 0-2 pada babak pertama, pasukan Johor DT kembali bangkit menerusi jaringan Andre Zinho pada minit ke-48.

"Mereka kembali bersemangat selepas saya memberi motivasi agar bermain secara bermati-matian untuk bangkit pada babak kedua perlawanan," katanya kepada pemberita.

Fandi berkata secara keseluruhan, beliau berpuas hati malah bangga dengan mutu persembahan anak didiknya walaupun mereka 'lambat panas'.

"Kunci kejayaan Johor DT adalah motivasi tinggi setiap pemain yang berjaya bangkit pada babak kedua perlawanan, dan seterusnya bertahan menerima asakan bertubi-tubi skuad Pahang hingga tamat perlawanan," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang kerana mereka telah bermain dengan baik pada malam ini.

Sementara itu, jurulatih Pahang Dollah Salleh berkata meskipun kecewa membawa skuad Tok Gajah ke final Piala FA, beliau tetap bangga dengan mutu persembahan pasukannya yang bermain bersungguh-sungguh.

"Kita telah gagal ke final Piala FA walaupun telah berusaha lebih, namun apa yang lebih penting bagi pasukan Pahang sekarang ini ialah untuk memberi sepenuh perhatian untuk layak ke final saingan Liga Super dan Piala Malaysia kerana peluang masih terbuka," katanya.

Johor DT dijadual menentang juara bertahan Piala FA iaitu Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment