Thursday, June 20, 2013

Jerebu: Larian Hari Olimpik Ahad Ini Ditunda

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Larian Hari Olimpik yang dijadual berlangsung di Padang Merbok di sini, Ahad ini, ditunda berikutan keadaan jerebu dan kualiti udara yang semakin merosot.

Majlis Olimpik Malaysia, selaku penganjur acara itu, Khamis ini berkata keputusan menangguhkan acara tahunan itu diputuskan selepas berunding dengan penganjur bersama, McDonald's Malaysia.

"Kami kesal dengan sebarang kesulitan yang dihadapi peserta tetapi kami mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan semua peserta termasuk keluarga dan kanak-kanak yang dijangka menyertai acara ini," kata MOM dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, MOM tidak menyebut tarikh baharu acara tersebut.

Larian Hari Olimpik diperkenalkan pada 1987 untuk memperingati penubuhan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 23 Jun, 1894 oleh Baron Pierre de Coubertin.

Populariti acara larian itu terus berkembang di peringkat antarabangsa daripada 45 anggota Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) dalam edisi pertama kepada lebih 100 NOC ketika ini.

No comments:

Post a Comment