Tuesday, June 18, 2013

‘Jangan ganggu dia..’


Kuala Lumpur: Jangan ganggu Paul Revington dan pihak pengurusan perlu berhenti daripada bermain politik.

Itu desakan seorang pemain kebangsaan yang berharap pengendali skuad hoki negara itu tidak diganggu lagi selepas beliau bersetuju untuk menarik balik keputusan meletak jawatan.

Bagi pemain berkenaan yang enggan namanya di dedahkan, Revington tahu apa yang dilakukannya dan beliau sememangnya tidak suka diganggu ketika menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih.
“Sebagai pemain kami memahami apa yang dimahukan oleh Revington dan memang benar beliau tidak suka mana-mana pihak mengganggunya ketika bersama skuad negara kerana ia mungkin hanya akan menjejaskan tumpuannya.

“Kami tidak nafikan beliau seorang serius tetapi kadang kala boleh di bawa berbincang. Apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan kami semua,” katanya.

Mengulas lanjut, pemain senior itu berkata, pihak atasan juga tidak perlu terus bermain politik demi menjaga periuk nasi masing-masing.

FotoPEMAIN hoki negara tetap berlatih walaupun tanpa kehadiran Revington.
“Saya tak nafikan ada individu dalam MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) menjalankan tugas untuk kepentingan tertentu,” katanya.

Malah pemain yang sering mewakili skuad negara itu jelas tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Majid Manjit Abdullah yang mahu melantik bekas jurulatih negara, Sarjit Singh sebagai ketua jurulatih sekiranya Revington benar-benar mahu berundur.

“Tanyalah kepada semua yang arif dengan dunia hoki tempatan, mereka pasti kenal siapa sebenarnya Sarjit.

“Adakah kita mahu melantik seorang jurulatih bermasalah untuk membimbing skuad negara? Sudah pasti tidak.

“Saya pun pasti rata-rata rakan sepasukan pasti tidak bersetuju jika Sarjit dilantik sebagai ketua jurulatih.

“Kenapa beliau (Majid) tiba-tiba ‘petik’ nama Sarjit? Itu kena tanya beliau sendiri,” katanya.



Oleh Saiful Affendy Sapran , Arena - MyMetro

No comments:

Post a Comment