Friday, June 07, 2013

Harimau Malaya Kalah 3-2 Kepada Canberra FC

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya memulakan Jelajah Australia 2013 dengan langkah sumbang selepas diaibkan 3-2 oleh Canberra FC pada perlawanan persahabatan pertama di Stadium Deakin, Canberra, Australia, Khamis.

Kelab Liga Australian Capital Territory (ACT) itu membuka tirai jaringan pada miniat ke-28 menerusi Alex Oloriegbe sebelum pemain tengah Ryan Keir menambah gol kedua enam minit kemudian.

Bagaimanapun, Harimau Malaya, di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal, berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan dua gol penyerang sensasi negara Mohd Safee Sali pada minit ke-61 dan 83.

Harapan skuad Harimau Malaya untuk mencatatkan keputusan seri tidak kesampaian apabila pemain gantian Canberra FC, Philippe Bernabo, menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Richard Naumovski selepas penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias menjatuhkan Philippe di dalam kotak penalti.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Marconi Stallions FC pada 11 Jun ini sebelum menamatkan jelajah di negara Kanggaru itu dengan perlawanan terakhir menentang Sydney United FC pada 13 Jun.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment