Friday, June 14, 2013

Hanya Presiden FAM Ada Kuasa Lucutkan Jawatan Saya - Azzuddin

PETALING JAYA, 13 Jun (Bernama) -- Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata beliau tidak akan berundur daripada jawatan yang disandangnya ketika ini walaupun ada segelintir pihak yang mahu beliau mengosongkan kerusi berkenaan secepat mungkin.

Ketika menegaskan perkara itu, Azzuddin yang memegang jawatan berkenaan sejak Sept 2007 berkata hanya Presiden FAM Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sahaja yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan supaya beliau berundur dan bukannya pihak luar.

"Saya berpegang kepada statut FAM di mana pelantikan dan pemecatan seorang Setiausaha Agung adalah di bawah kuasa Tuanku Presiden sendiri.

"(Justeru itu), tidak ada mana-mana pihak yang boleh memberi tekanan kepada saya untuk berundur atau meletak jawatan dan segala (arahan) yang saya laksanakan sebelum ini adalah berlandaskan peraturan dan statut FAM," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari Khamis.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dipetik dalam sebuah akhbar hari ini meminta Azzuddin untuk berundur segera daripada jawatannya yang disandangnya kini.

Annuar membuat gesaan itu kerana mendakwa Azzuddin gagal memainkan peranan penting terutamanya menjaga hubungan dengan ahli gabungan dan exco FAM disebabkan 'terikat' dengan Presiden FAM.

Mengulas lanjut, Azzuddin berkata beliau juga tidak gentar dengan ugutan sesetengah pihak yang tidak berpuashati dengan tindakan yang diambil oleh Sekretariat FAM yang diketuai oleh beliau sendiri.

Sebelum ini, Azzuddin ditawarkan jawatan sama dalam Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bagi menggantikan Datuk Seri Paul Mony Samuel yang meletakkan jawatan.

Dalam perkembangan berasingan, Azzuddin mahu persatuan bola sepak negeri yang bersaing dalam Liga Malaysia untuk mencari dana lain bagi memperkukuhkan pasukan masing-masing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada FAM.

"Kita ada memberikan geran tahunan kepada pasukan Liga Perdana dan Liga Super apabila musim baharu bermula dan selebihnya bergantung kepada kemampuan pemimpin pasukan itu sendiri untuk mencari dana tambahan.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang masih menjalani penggantungan selama 30 bulan baru-baru ini, membidas FAM kerana gagal membantu pasukan yang menghadapi masalah kewangan seperti PFA.

Dalam perkara lain, Azzuddin menyelar tindakan beberapa kelab Liga Malaysia yang berhasrat untuk memancing bekas pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Nor untuk kembali beraksi dalam kancah bola sepak liga tempatan.

Wan Zack Haikal kini terikat kontrak selama dua tahun bersama kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu.

"Saya turut merasa kecewa sebagaimana yang diluahkan oleh jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee...kita mendedahkan pemain muda kita kepada liga luar negara seperti Wan Zack Haikal namun pasukan tempatan cuba melamar pemain itu pulang ke Malaysia.

"Kita ada bukti kelab atau negeri mana yang berusaha memancing Wan Zack Haikal namun kita tidak mahu mendedahkan perkara ini terlebih dahulu," katanya.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa Kim Swee melahirkan kekecewaan dengan tindakan beberapa kelab Liga Malaysia berhasrat membawa pulang pemain kelahiran Pahang itu kembali ke tanah air.

Laporan itu turut menyebut bahawa Wan Zack Haikal berhasrat meninggalkan kelab yang berpangkalan di Okinawa, Jepun itu kerana dikatakan mengalami masalah komunikasi dengan pegawai perubatan kelab itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment