Friday, June 28, 2013

Hamidin Dilantik Sebagai Setiausaha Agung FAM Baharu Mulai 1 Julai Ini - Presiden FAM

PETALING JAYA, 27 Jun (Bernama) -- Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Setiausaha Agung badan induk bola sepak kebangsaan itu berkuatkuasa 1 Julai ini.

Beliau akan menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad yang dilantik menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) juga berkuatkuasa pada tarikh yang sama, menggantikan Datuk Seri Paul Mony Samuel yang bersara awal disebabkan masalah kesihatan.

Pelantikan Hamidin ke jawatan berkenaan diumumkan oleh Presiden FAM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada sidang media khas di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, dekat sini, Khamis.

Baginda bertitah pelantikan Hamidin bagi menggantikan Azzudin yang memegang jawatan berkenaan selama enam tahun sejak 2007 dibuat selepas melakukan penelitian lanjut terhadap calon-calon yang sesuai.

"Saya yakin dengan (kemampuan yang dimiliki) Hamidin untuk mengendalikan FAM dan beliau harus meletakkan semua jawatan yang disandangnya ketika ini (seperti Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkuatkuasa serta merta," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah, yang juga Presiden AFF, mendedahkan bahawa FAM telah memperolehi kelulusan kerajaan untuk membina sebuah bangunan yang menempatkan pentadbiran FAM dan AFF di atas sebidang tanah seluas 3.24 hektar di Putrajaya.

"Saya telah meminta dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan beliau telah meluluskan permohonan kita...Saya ucapkan terima kasih kepada beliau (Najib).

"Saya akan berbincang lebih lanjut dengan ahli gabungan AFF (dan FAM) tentang bagaimana untuk melaksanakan projek ini kerana ia bakal melibatkan sejumlah wang yang besar," titah baginda.

Wisma FAM yang dibina di Kelana Jaya pada penghujung 1990-an telah mengalami banyak pengubahsuaian berikutan peredaran masa manakala AFF hanya menyewa sebuah bangunan berhampiran dengan Wisma FAM untuk urusan pentadbiran.

Dalam perkembangan berasingan, Sultan Ahmad Shah membidas tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan mengenai cara perbelanjaan wang penajaan sebanyak RM30 juta setahun yang diterima oleh FAM menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia.

Titah baginda, jumlah berkenaan adalah tidak mencukupi memandangkan perbelanjaan pengurusan Liga Malaysia setahun dianggarkan berjumlah RM45 juta.

"Saya telah menjadi Presiden FAM selama 28 tahun...(Bagi saya) tidak kisahlah siapa anda dan jawatan yang anda pegang, awak mesti bersedia untuk menerima kritikan.

"Tetapi orang berkenaan mesti tahu apa yang dia cakap...jangan cakap benda-benda mengarut yang dia sendiri tidak tahu.

"Jumlah RM30 juta setahun itu memang tidak mencukupi...walaupun sukar sekali mana pun, perjalanan (Liga Malaysia) harus diteruskan bagi meningkatkan standard bola sepak di negara ini dan juga di peringkat Asia," titah baginda.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini mempersoalkan cara FAM membelanjakan jumlah RM30 juta berkenaan yang sepatutnya digunakan bagi membantu persatuan negeri yang menghadapi masalah kewangan.

Beliau yang kini menjalani penggantungan selama 30 bulan ekoran kritikan terhadap prestasi skuad bola sepak kebangsaan dilaporkan berkata pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia turut mempunyai hak ke atas wang berkenaan dan bukannya milik FAM semata-mata.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment