Wednesday, June 12, 2013

Gandingan Koo-Tan Masih Kebal Ke Guangzhou

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Biarpun prestasi mereka amat mengecewakan, beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong masih diberi kepercayaan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggalas cabaran negara pada Kejohanan Terbuka Dunia 2013 di Guangzhou, China dari 5 hingga 11 Ogos.

Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh bagaimanapun memberi amaran kepada gandingan negara itu supaya menampilkan aksi terpuji atau mereka akan dipisahkan jika gagal mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan itu.

"Kedua mereka akan dipisahkan. Ini adalah satu daripada tindakan yang boleh kami ambil jika mereka tidak mempamerkan aksi yang baik. Untuk melatih pemain seperti Koo dan Tan bukanlah perkara yang mudah kerana kami telah banyak melabur untuk mereka.

"Kami akan memberi mereka peluang untuk beraksi (di Guangzhou) sebelum membuat sebarang keputusan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco BAM di sini hari ini.

Sebanyak 24 pemain bakal menggalas cabaran negara pada kejohanan itu, melibatkan 20 pemain di bawah BAM manakala bakinya daripada beberapa kelab badminton tempatan.

Mohd Nadzmi menjelaskan untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua pemain itu perlu perbincangan menyeluruh berdasarkan kepada laporan daripada jurulatih dan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CNT) BAM.

"Sebagai presiden saya tidak boleh sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman dengan mendengar satu pihak sahaja. Laporan penuh perlu diambil kira dan diteliti.

"Dalam hal ini, jurulatih paling rapat dengan pemain, sepatutnya jurulatih itu sendiri yang perlu menghantar laporan kepada CNT mengenai disiplin dan prestasi pemain mereka," katanya.

Ditanya sama ada jurulatih mengambil sikap 'melindungi' pemain masing-masing, Mohd Nadzmi mengakui terdapat dalam kalangan jurulatih yang berbuat demikian dengan mengenepikan soal disiplin kerana merasakan pemain mereka mampu beraksi dengan baik.

Beliau berkata masalah disiplin melibatkan pemain badminton negara adalah isu kecil yang boleh ditangani, namun cabaran lebih besar ialah bagi memastikan aspek psikologi pemain bertaraf dunia seperti Koo-Tan dan Datuk Lee Chong Wei pada tahap konsisten dalam setiap kejohanan utama.

"Kami ada pemain dan jurulatih bertaraf dunia tetapi masih kebelakang dalam mengaplikasi sains sukan dalam latihan pada setiap kejohanan besar yang disertai.

"Institut Sukan Negara (ISN) banyak membantu kami dalam memberi pendedahan sains sukan kepada pemain, tetapi kami perlu pakar psikologi yang dapat memberi tumpuan kepada pemain elit kami seperti digunakan Korea Selatan dan China.

"Dua negara itu menggunakan khidmat pakar psikologi untuk melatih pemain mereka. Contoh seperti pada kejohanan Piala Sudirman, kita lihat pemain tertekan selepas tewas kepada Taiwan dan Jerman sedangkan pemain kita mempunyai kemahiran," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nadzmi yang tidak akan mempertahankan jawatannya, berkata BAM akan mengadakan pemilihan baharu kepimpinan tertinggi badan induk itu pada 27 Julai ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment