Monday, June 03, 2013

Final Piala FA akan dimainkan di Bukit Jalil

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan final Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim kekal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Hamidin Mohd Amin tampil menafikan desas-desus dan laporan yang mengatakan aksi kemuncak merebut piala berkenaan akan berlangsung di Stadium Shah Alam yang mempunyai kapasiti 80,000 penonton.

“Final Piala FA tetap akan diadakan di Stadium Nasional yang juga stadium terbesar di negara ini. Tiada sebab untuk kami mengubahnya ke Stadium Shah Alam kerana Stadium Nasional sudah terbukti semalam (malam kelmarin) mampu mengendalikan perlawanan yang ramai penonton.
“Kami masih belum memutuskan jumlah tiket yang bakal dicetak, mungkin tidak melebihi 85,000 keping walaupun Stadium Nasional mampu menampung jumlah penonton yang lebih besar. Langkah ini bagi memastikan beberapa aspek dapat dikawal termasuk keselamatan,” katanya.

Stadium Nasional yang mempunyai kapasiti sehingga 100,000 penonton menjadi gelanggang aksi separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor DT malam kelmarin, disaksikan kira-kira 48,500 penyokong kedua-dua pihak.

“Kelihatan Stadium Nasional tidak menjadi masalah untuk menjadi gelanggang final walaupun beberapa bulan ditutup kerana kerja-kerja membaiki bumbung stadium. Saya melihat semuanya berjalan lancar termasuk tahap pencahayaan yang memuaskan,” katanya.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment