Friday, June 07, 2013

FAM jamin bayar insentif kepada PBNJ

TENGKU ABDULLAH (tengah) meluangkan masa beramah mesra bersama pemain hoki muda negara selepas merasmikan Kejohanan Hoki Piala Guruhara di Kelab Aman Kuala Lumpur petang semalam.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi jaminan bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan menerima bayaran insentif RM15,000 satu perlawanan sebagai hak tuan rumah dalam siaran langsung Liga Malaysia (Liga M).

Begitupun baginda menegaskan, FAM perlu meneliti terlebih dahulu kontrak perjanjian yang telah dipersetujui dengan Astro berhubung perkara tersebut.
Sebagai tuan rumah, jelas baginda, PBNJ dan persatuan bola sepak negeri lain berhak menerima insentif berkenaan sekiranya ia termaktub di dalam kontrak perjanjian.

“Saya sebenarnya tidak tahu maklumat terperinci tentang kontrak tersebut dengan Astro, tetapi FAM akan melihat semula kontrak berkenaan.

“Kalau dalam kontrak berkenaan mengesahkan bahawa tuan rumah memang betul akan mendapat hak seperti yang dijanjikan itu, maka kita akan bagi kepada semua persatuan negeri, termasuk PBNJ.
“Kita perlu menghormati dengan apa yang telah dijanjikan seperti dalam kontrak dan FAM akan menjawab tuduhan atau isu yang dibangkitkan oleh Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) ini,” ujar Tengku Abdullah.

Tengku Abdullah ditemui selepas merasmikan Kejohanan Hoki Piala Guruhara di Kelab Aman, Kuala Lumpur petang semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Tunku Ismail meluahkan rasa dukacita dan hairan baginda apabila PBNJ masih belum menerima sebarang bayaran yang dijanji selaku tuan rumah perlawanan yang mempunyai hak penyiaran.

Sebelum ini, FAM mengumumkan insentif itu menerusi Mesyuarat Exco FAM yang mana dana bernilai RM15,000 itu akan diagihkan kepada pasukan tuan rumah.

Bayaran RM5,000 pula akan diserahkan kepada pasukan pelawat selepas FAM bersetuju untuk memberikan dana kepada pasukan Liga M yang menjadi tuan rumah untuk liputan siaran langsung dalam mesyuarat itu, April lalu.

Sementara itu, mengenai kritikan yang dibuat oleh Tunku Ismail meskipun baginda digantung enam bulan sebagai presiden PBNJ di bawah Artikel 88 Status FAM, Tengku Abdullah menjelaskan, ia adalah hak baginda sebagai orang luar untuk memberi kritikan.

“Itu adalah hak dia untuk beri komen sebagai kapasiti TMJ, FAM tiada masalah. Kami terbuka dengan sebarang kritikan atau cadangan daripada orang luar.

“Kalau kenyataan tersebut ada kebaikan, FAM perlu ambil iktibar kerana mungkin kenyataannya itu boleh membawa kebaikan.

“Tetapi kalau faktanya salah, ia perlu diperbetulkan,” jelas baginda lagi.

oleh shahril nizam abdullah
shahril.abdullah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment