Wednesday, June 12, 2013

Empat kerusi jadi rebutan

PEMILIHAN pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2013 hingga 2015 sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 22 Jun ini bakal menyaksikan empat kerusi dipertandingkan dengan tiga daripadanya adalah persaingan satu lawan satu.

SHAHRIL NIZAM ABDULLAH melaporkan, jawatan Timbalan Presiden MOM yang disandang Presiden Persatuan Skuasy Malaysia, Datuk A. Sani Karim bakal dicabar oleh Naib Presiden MOM yang juga Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Malaysia, Tan Sri Mohamad Noor Abd. Rahim.
Satu lagi kerusi panas - Setiausaha Kehormat - turut menyaksikan perebutan satu lawan satu apabila Penolong Setiausaha Kehormat sebelum ini, T. Kumar bakal mencabar penyandang jawatan berkenaan, Datuk Sieh Kok Chi.

Bagi jawatan lima Naib Presiden, empat muka baharu - Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalif, Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar, Andrew Bryan Perera dan Datuk Tang See Hang bakal mencabar empat penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Low Beng Choo, Datuk Dr. Zakaria Ahmad, Datuk Roy Rajasingham dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Satu lagi kerusi yang menjanjikan persaingan satu lawan satu ialah jawatan Bendahari Kehormat apabila penyandangnya, Yong Choo Kong akan dicabar Ling Eng Chan.
Pengerusi panel bebas pemilihan, Datuk Norminshah Sabirin menjelaskan, sehingga tarikh tutup pencalonan petang semalam, hanya empat kerusi sahaja yang akan diumumkan menang tanpa bertanding pada 22 Jun ini.

"Sehingga tarikh tutup petang ini (semalam), hanya jawatan Presiden, Penolong Setiausaha Kehormat lelaki dan wanita serta Penolong Bendahari Kehormat yang menerima satu pencalonan.
"Ini bermakna jawatan presiden yang disandang Tunku Imran Tuanku Ja'afar serta tiga jawatan lain ini akan diumumkan menang tanpa bertanding pada AGM penggal 2013-2015, 22 Jun ini," jelasnya pada sidang akhbar di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam.

Norminshah akan mengetuai dua lagi ahli panel bebas pemilihan yang dilantik oleh MOM iaitu Pengarah Eksekutif SportExcel, C. Sivanandan dan Ong Leng Kok.

Pada penamaan semalam, Tan Sri Mohamad Noor dicalonkan oleh MTBC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Tinju Amatur Malaysia manakala Persatuan Skuasy Malaysia mencalonkan A. Sani.

T. Kumar pula dicalonkan oleh Persatuan Karate Malaysia dan Persatuan Bola Jaring Malaysia untuk merebut jawatan Setiausaha Kehormat yang disandang oleh Kok Chi sejak 1992.

"Pengundian melibatkan 35 persatuan sukan di Malaysia dan setiap persatuan tersebut boleh menghantar tiga wakil pada hari pengundian nanti yang bermakna jumlah keseluruhan ialah 105 undi.
"Saya sendiri tidak tahu siapa wakil yang akan dihantar oleh persatuan sukan masing-masing kerana ia terpulang kepada mereka untuk memilih wakil mereka," ujar Norminshah.

KOSMO

No comments:

Post a Comment