Friday, June 28, 2013

Donnelly takluk peringkat dua

Batu Pahat: Pelumba Huon Salmon-Genesys Wealth, Aaron Donelly muncul juara Peringkat 2 Jelajah 1Malaysia dari Rembau ke Batu Pahat semalam ketika pelumba negara mewakili OCBC Singapore, Loh Sea Keong mengambil giliran meraih empat daripada lima jersi rebutan, termasuk jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan.

Donelly, pelumba kelahiran Sydney berusia 22 tahun, antara pelumba dalam kumpulan pengejar yang bijak menghidu ruang, sebelum meloloskan diri untuk meninggalkan naib juara dari CCN Cycling Team, Lex Nederlof dan Sea Keong pada baki 2 kilometer terakhir.

Bekas pelumba Jayco AIS yang pernah beraksi di Le Tour de Langkawi 2010 itu, menamatkan kayuhan sejauh 197.6km dalam masa 4 jam 44 minit 53 saat, tiga saat di depan Nederlof dan 1:08s di depan peloton.

Namun, tumpuan semalam menjurus kepada Sea Keong, pelumba 27 tahun kelahiran Kuala Kurau, Kelantan yang merampas jersi kuning daripada pemenang Peringkat 1 di Rembau semalam, Kiril Pozdnyakov.

Sea Keong yang sebelum ini berada 22 saat di belakang Pozdnyakov, kini mengumpul keseluruhan masa 8j 58m 50s, hanya 14 saat di depan pelumba Polygon Sweet Nice, Sergey Kuzmin dan 41s di depan Pozdnyakov.

Prestasi cemerlangnya itu turut membolehkan Sea Keong mengumpul 13 mata dalam klasifikasi Raja Pecut untuk merampas jersi hijau yang disarung pelumba Malaysia, Adiq Husainie Othman, jersi biru sebagai Pelumba Terbaik Asia dan jersi putih Pelumba Terbaik Tempatan.

Kudratnya semalam turut membantu melonjakkan OCBC Singapore ke tangga teratas senarai berpasukan keseluruhan, 50 saat di depan Genesys Wealth dan 1:26s di depan Baku Synergy Project.

Pelumba LBC-MVPSF Pilipinas, Rustom Lee yang memenangi peringkat pendakian tunggal di Gemencheh, meraih empat mata lagi untuk keseluruhan enam mata dalam pemburuan jersi merah Raja Bukit, satu mata di depan Zamri Salleh (Terengganu Cycling Team). Seperti diramal, perlumbaan semalam turut menyaksikan tindakan agresif pelumba yang membuat pemecahan awal apabila sekumpulan 4 pelumba, Goh Choon Huat (OCBC), Daniel Bonello (Corbusier), Denver Casayuran (LBC-MVPSF Cycling Pilipinas) dan Sota Ikebe (Matrix Powertag) meloloskan diri sebaik melepasi zon pendakian pertama di Gemencheh dan pada satu ketika hampir sembilan minit di depan.

Kuartet pemecah ini menguasai tiga zon pecutan di Gemas (KM67.8), Segamat (KM97.2) dan Cha’ah (KM144.9) sebelum mereka dihambat 10 pelumba dalam kumpulan pengejar yang turut membabitkan Donelly dan Sea Keong pada kira-kira 25km terakhir.

Kumpulan 14 di depan ini berpecah pada baki 3km apabila Donelly, Sea Keong dan Nederlof meloloskan diri sebelum Donelly menggunakan kepakarannya membuat henjutan secara solo ke garisan penamat.

“Kami saling memandang antara satu sama lain tapi saya dapat meloloskan diri. Saya tahu jarak hari ini agak jauh dan pelumba lain mungkin keletihan. Saya menggunakan peluang itu untuk memastikan kemenangan,” kata Donelly yang menyertai Genesys Wealth tahun ini dan mengumpul kemenangan peringkat kedua selepas Sun Tour di Australia, awal tahun ini.

Jelajah 1Malaysia diteruskan dengan Peringkat 3 Batu Pahat ke Pontian sejauh 94.7km pada jam 9 pagi, menyediakan dua zon pecutan di Senggarang (Km21.1) dan Benut (Km53.9) sebelum berakhir di depan Pejabat Daerah & Tanah Pontian.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment