Monday, June 17, 2013

Dharma bakal kena pecat

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad remaja negara Muhammad Dharma Raj Abdullah jelas kecewa dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Majid Manjit Abdullah yang bersedia untuk memecatnya dalam usaha memujuk semula Paul Revington menarik balik hasratnya daripada meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad senior.

Nama Dharma serta Pengarah Program Pembangunan 1MAS Lim Chiow Chuan tiba-tiba menjadi hangat selepas dikaitkan menjadi punca kepada keputusan Revington meletak jawatan.

“Secara jujur, saya benar-benar rasa kecil hati dengan kenyataan itu sebab tiba-tiba saya nama saya dikaitkan dengan isu ini.

“Pihak Jawatankuasa Kejurulatihan juga tidak ada menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan sehinggalah hari ini (semalam).

“Malah saya sendiri tahu perkara ini melalui berita di televisyen,” katanya.

Jelas Dharma, beliau sedia untuk mengadakan perbincangan dengan Revington serta beberapa pihak yang berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian.
“Pada pertemuan itu, saya ingin tahu apakah salah saya sebab rasanya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan ke atas Revington.

“Perkara ini boleh selesai hanya dalam masa lima minit sekiranya semua pihak bekerjasama. Jika benar saya ada buat kesalahan, saya sendiri sedia untuk melepaskan jawatan ini,” katanya.

Dharma bagaimanapun mengakui kadang kala berlaku salah faham antaranya bersama Revington tetapi beliau sama sekali tidak menyangka ia akan mengheret kepada masalah lebih besar.

“Saya tetap akan menjalankan tugas sebagai jurulatih seperti biasa selagi belum dapat apa-apa arahan kerana ini adalah satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya,” katanya.



Harian Metro

No comments:

Post a Comment