Friday, June 14, 2013

‘Cukup satu velodrom’: Naim

Kuala Lumpur: “Cukuplah satu velodrom kelas satu ketika ini. Serahkan keputusan ini kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan),” kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad ketika mengulas isu pembinaan velodrom kelas satu yang belum mencapai kata persetujuan setakat ini.

Ketika Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) menerusi Presiden Datuk Jamlus Aziz turus mahukan velodrom itu kekal dibina di lokasi asal di Nilai, Naim berkata, biar apapun keputusan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan tetap dengan keputusan mereka membina satu velodrom kelas satu di Kuala Lumpur. “Saya harap semua orang hentikan perkara ini. Dalam hal ini saya harap semua pihak jangan menjadikan ia perbalahan atau isu kerana ini peruntukan kerajaan yang diserahkan kepada KBS dan apa saja menteri dan KBS putuskan, kita perlu akur.

 “Masing-masing boleh memberi pandangan demi kebaikan kerana kita akan melaksanakan kajian iaitu daripada segi kepentingan kebangsaan kerana banyak perkiraan perlu dibuat sebelum buat keputusan demi kebaikan negara. “Saya cadangkan supaya kita serahkan kepada menteri dan KBS membuat penelitian dan mengkaji untuk memutuskannya, janganlah kita timbulkan masalah ini lagi kerana akhirnya kita mahukan negara yang untung bukannya mana-mana puak yang mempunyai kepentingan kecil “Sama ada di Nilai atau Kuala Lumpur, yang pasti keputusan akan diputuskan menteri (Khairy Jamaluddin Abu Bakar). “DBKL juga tetap dengan keputusan untuk terus membina velodrom tertutup ini tanpa mengambil kira apa yang berlaku dengan keputusan berhubung pembinaan velodrom di Nilai,” katanya yang ditemui di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur sempena Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2013, semalam.

Sukan berbasikal negara sebelum ini menerima perkhabaran gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan velodrom kelas satu pada Bajet 2013.

Namun perkara itu turut mendapat perhatian DBKL yang berhasrat mahu meruntuhkan Velodrom Kuala Lumpur, Cheras dan menggantikannya dengan velodrom tertutup bernilai RM80 juta yang dijangka dibina berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras. Namun semalam, PLBNS tetap bertegas mahukan KBS terus dengan rancangan asal untuk membinanya di Nilai.



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment