Thursday, June 06, 2013

Chung Seang Ketuai Cabaran Pemain Negara Ke Pusingan Kedua Badminton Terbuka Thailand

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Tan Chung Seang mengetuai cabaran pemain negara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton GP Emas Terbuka Thailand selepas menumpaskan lawan masing-masing pada pusingan pertama di Stadium Nimibutr, Bangkok, Thailand, Rabu.

Tan, yang juga pilihan kesembilan kejohanan, mudah menewaskan pemain tuan rumah yang beraksi dari pusingan kelayakan, Kanpop Athaviroj dengan kemenangan 21-16 dan 21-8.

Turut melangkah ke pusingan kedua pemain pelapis lelaki kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang mengalahkan Adi Pratama dari Indonesia, 21-17 dan 21-15.

Dua lagi pemain pelapis lelaki kebangsaan, Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi turut layak selepas menumpaskan lawan masing-masing pada pusingan pertama, Rabu.

Joo Ven mara selepas mengejutkan pilihan ke-11, Ville Lang dari Finland dengan 19-21, 21-10 dan 24-22 manakala Teck Zhi mengalahkan wakil Singapura, Robin Gonansa, 21-13, 15-21 dan 21-18.

Kedua-dua pemain itu bagaimanapun akan bersaing sesama sendiri pada pusingan kedua esok untuk menentukan slot ke pusingan berikutnya.

Dalam acara beregu campuran, pilihan kelapan kejohanan, Tan Aik Quan dan Lai Pei Jing mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan pasangan adik-beradik dari Ireland, Sam dan Chloe Magee dengan kemenangan 21-13 dan 21-18.

Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari yang bergandingan dengan pemain Indonesia, Devi Tika Permatasari turut mara ke pusingan berikutnya selepas menumpaskan pasangan dari Taiwan, Chia Yu Lin dan Wang Pei Rong, 21-19 dan 21-9.

Sementara itu, beberapa pemain negara gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Bekas juara perseorangan lelaki All-England 2003, Muhammad Hafiz Hashim tewas mengejut 12-21, 21-9 dan 20-22 kepada pemain tidak ternama dari India, Sai Praneeth B. manakala naib juara GP Emas Terbuka Malaysia 2013, Goh Soon Huat kalah 21-15, 13-21 dan 16-21 kepada pilihan keempat, Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia.

Wakil tunggal negara dalam perseorangan wanita, Yang Li Lian turut kalah 12-21 dan 16-21 kepada pemain Singapura, Xiaoyu Liang.

Lima pasangan lelaki dan satu pasangan wanita negara akan turun ke gelangggang esok untuk acara beregu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment