Thursday, June 13, 2013

Chong Wei lepasi bala di Indonesia

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei terlepas daripada bala besar sebelum Kejohanan Dunia apabila mengatasi pemain muda China, Wang Zhengming ketika pilihan kedua Siri Super Premier Terbuka Indonesia, Chen Long menerima kejutan, tewas dua set berturut-turut kepada pemain tuan rumah, Tommy Sugiarto.

Chong Wei yang tewas set pertama 20-22, bergelut menyesuaikan diri dengan keadaan angin di gelanggang namun berjaya bangkit untuk menang set kedua 21-4.

Perlawanan kembali sengit pada set penentuan kerana Chong Wei banyak melakukan kesilapan hingga membolehkan lawan memberikan tentangan. Bagaimanapun, Chong Wei menang 22-20.
“Keseluruhan permainan Chong Wei OK tapi China melakukan persiapan rapi untuk menangani Chong Wei dengan menggunakan Wang Zhengming sebagai bahan uji kaji,” kata jurulatih Tey Seu Bock.

Sementara itu, Seu Bock menyifatkan kekalahan seorang lagi pemain negara Tembok Besar, Chen Long kepada Tommy, sebagai sebahagian daripada permainan taktikal negara itu.

“Saya tidak perkecilkan kemampuan Tommy tapi saya sudah biasa dengan percaturan China setiap kali menjelang kejohanan besar. Mereka datang ke sini semata-mata mahu melihat permainan Chong Wei.” Chen Long tewas 11-21, 18-21 kepada Tommy sekali gus menjadikan Du Pengyu sebagai pencabar terkuat Chong Wei pada kejohanan kali ini.

Du Pengyu menewaskan Nguyen Tien Minh dari Vietnam 21-19, 21-15 untuk ke pusingan kedua.

Beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut ke pusingan kedua selepas mengatasi gandingan tuan rumah Yonathan Suryatama Dasuki-Hendra Aprida Gunawan, 21-15, 21-11.
Mereka berdepan satu lagi gandingan tuan rumah lebih berpengalaman, Alvent Yulianto Chandra-Markis Kido hari ini.

Begitupun aksi Hoon Thien How-Tan Wee Kiong langsung tidak menggambarkan taraf mereka sebagai gandingan nombor tujuh dunia apabila tersingkir di pusingan pertama selepas kalah kepada pemain kelayakan, Andrei Adistia-Gideon Markus Fernaldi dari Indonesia, 21-10, 18-21, 15-21.

Pasangan profesional, Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Latif pula tunduk kepada jaguh China, Fu Haifeng-Cai Yun 14-21, 21-18, 14-21 manakala Gan Teik Chai-Ong Soon Hock tewas kepada pasangan kurang ternama Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-14, 8-21, 11-21.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment