Thursday, June 13, 2013

‘Buatlah di Nilai’

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan berharap pembinaan velodrom tertutup kelas satu akan dibina di Nilai seperti rancangan asal bagi membolehkan banyak pihak mendapat manfaat daripada kemudahan sukan bertaraf antarabangsa itu.

Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Zaifulbahri Idris (gambar) berkata, kerajaan dan rakyat Negeri Sembilan berharap dan menyokong penuh cadangan asal kerajaan untuk membina velodrom itu di negeri ini kerana kawasan dipilih itu mempunyai kemudahan rangkaian perhubungan baik selain Nilai tidak jauh dari ibu negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Negeri Sembilan berharap velodrom tertutup kelas satu itu dibina di Nilai seperti rancangan asal kerana lokasi itu satu kawasan baru yang strategik dan sedang membangun.

“Malah, Nilai juga tidak jauh dari ibu negara dan KLIA yang mempunyai rangkaian lebuh raya. Walaupun semua urusan itu dan keputusan akhirnya akan ditentukan Kementerian Belia dan Sukan, saya harap velodrom itu dibina di Nilai,” katanya.

Sebelum ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyatakan, velodrom tertutup kelas satu dibina di Cheras, Kuala Lumpur apabila Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad sebelum ini menyatakan tidak perlu dua velodrom.

Veledrom itu dirancang dibina berhampiran Pusat Akuatik Kuala Lumpur di Cheras, mengikut cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun, cadangan Naim itu tidak senada dengan Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) apabila Presiden Datuk Jamlus Aziz turut mahukan velodrom itu kekal dibina di lokasi asal di Nilai.

Bagi Zaifulbahri, pembinaan velodrom di Nilai bukan bermakna matlamat asalnya iaitu membangunkan sukan basikal negara ke tahap cemerlang terbatas sebaliknya ia boleh dijalankan seperti dirancangkan.

“Malah ia bukan saja dimanfaatkan PKBM tapi Negeri Sembilan sendiri yang kini berjaya melahirkan beberapa pelumba berprestasi tinggi dan mewakili negara di peringkat antarabangsa. Justeru, pembinaannya wajar diteruskan di Nilai,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2013, memperuntukkan RM80 juta untuk pembinaan velodrom tertutup itu di Nilai namun DBKL kemudian mencadangkan supaya ia dibina di Cheras.


Oleh Mohd Amin Jalil, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment