Friday, June 28, 2013

Bidaan Hos Piala Dunia 2034 Dan Penganjuran ASL Antara Cabaran Azzuddin

PETALING JAYA, 27 Jun (Bernama) -- Bidaan negara-negara Asean untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2034 selain cadangan penganjuran Liga Super Asean (ASL) bakal menjadi dua cabaran awal kepada Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang baharu, Datuk Azzuddin Ahmad.

Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysian (FAM) itu yang akan memulakan tugas baharunya secara rasmi mulai 1 Julai ini berkata dua perkara berkenaan antara yang dibincangkan pada mesyuarat ahli gabungan AFF di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini.

"Saya percaya sudah sampai tahap sehingga 70 peratus mengenai penganjuran Liga Super Asean...kertas cadangan berkenaan perkara itu akan diajukan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mendapat kelulusan dan sokongan.

"Ahli gabungan AFF juga mahu sukan bola sepak di peringkat akar umbi melibatkan negara Asean dipertingkatkan ke tahap lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelantikan Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Setiausaha Agung FAM yang baharu yang diumumkan oleh Presiden FAM, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah hari ini.

Azzuddin menerima surat pelantikannya selaku Setiausaha Agung AFF yang baharu pada Ahad lepas bagi mengganti Datuk Seri Paul Money Samuel yang bersara awal berikutan masalah kesihatan.

Mengenai pelantikan Hamidin, Azzuddin yakin pengalaman luas beliau mampu melonjakkan badan induk bola sepak kebangsaan itu ke arah lebih maju.

"Saya yakin dengan pengalaman beliau (Hamidin) yang sangat luas selain hubungan yang mesra dengan pihak media dan ahli gabungan FAM, beliau dapat mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

"Saya percaya beliau akan teruskan usaha-usaha yang lebih baik untuk mempertingkatkan lagi pengurusan di pihak sekretariat FAM," katanya.

Sepanjang berkhidmat di FAM, Azzuddin pernah memegang beberapa jawatan penting dalam badan induk bola sepak negara itu seperti Ahli Jawatankuasa Bebas dari 2000 hingga 2006, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin (2001-2004) dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil (April-September 2006).



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment