Friday, June 14, 2013

Balbir tempelak Nadzmi

Kuala Lumpur: Tuduhan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh yang mendakwa Malaysia tidak memiliki pakar psikologi sukan bertaraf dunia dinafikan sekeras-kerasnya Pensyarah Kanan/Ahli Psikologi Universiti Malaya Dr Balbir Singh Gill yang menganggap badan induk badminton itu sekadar mencari alasan.

Beliau berkata, ramai pakar psikologi berkelayakan di negara ini namun tidak diberi peluang dan tidak diberi pengiktirafan sewajarnya, baik oleh persatuan sukan mahupun Institut Sukan Negara (ISN).

“Badan induk sukan negara menyedari kehadiran kami namun mereka tidak beri peluang. Saya pernah dipanggil tapi kami tidak diiktiraf. Mereka mahukan khidmat kami tanpa mahu membayar,” kata Balbir di Pusat Sukan Universiti Malaya semalam.
“Persatuan dan ISN juga tidak pernah berbincang dengan kami secara profesional. Mereka sepatutnya membentangkan keperluan mereka kepada pakar psikologi, menyatakan masalah dihadapi tapi sebaliknya mereka mahukan jalan pintas.

“Jika Nadzmi cari di seluruh dunia, beliau tidak akan jumpa pakar psikologi sukan badminton kerana kami semua ahli akademik.” Beliau menyebut beberapa pakar psikologi sukan di negara ini seperti Dr Lim Bun Hooi (Timbalan Pengarah Akademik Pusat Sukan UM), Dr Ong Kong Swee (Institut Perguruan Rajang), Dr Hairul (HUSM Kubang Kerian), Dr Nel Fianty (UPSI) dan Profesor Hafidz Omar (UTM Skudai).

Balbir yang kini Pengerusi Akademi Kejurulatihan Kebangsaan Malaysia (AKKM) pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Persatuan Hoki Malaysia (PHM) pada 2009-2010, ahli Majlis Fizikal dan Sains Sukan Asia 2007, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Universiti) serta pernah dilantik sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kejurulatihan Hoki 1998-2004.
Mengulas keperluan psikologi atlet, beliau berkata, ahli psikologi tempatan boleh menangani masalah dengan mengenalpasti gangguan dalaman dan luaran atlet serta mencari cara memotivasikan atlet.

“Apa yang berlaku sekarang, kita tidak memperkenalkan latihan psikologi kepada pemain untuk mereka terjemahkan di gelanggang.
“Daripada segi saintifik, kita perlukan pendekatan menyeluruh, bagaimana jurulatih melatih fizikal, teknikal, taktikal dan psikologikal pemain.

“Pendekatan psikologi sukan bukan hanya digunakan apabila pemain itu kalah. Butir-butir psikologi perlu direkod ketika latihan namun yang berlaku di BAM sekarang berbeza.

“Mereka menyebut perkataan psikologi apabila keadaan terdesak, baru mahukan pakar psikologi.

“Keperluan psikologi sukan sama pentingnya dengan latihan fizikal yang memerlukan latihan berpanjangan tanpa henti. “Jika perlukan sangat pakar psikologi, mengapa mereka tidak bersungguh mencari seseorang sebelum Olimpik London, selepas Frederick Tan tidak lagi sedia membantu? “Nadzmi sebagai presiden sepatutnya berusaha melengkapkan pasukan badminton. Adakah kaedah digunakan dalam sistem kejurulatihan itu betul sebelum mereka salahkan ketahanan mental Chong Wei sebagai punca kekalahan kepada Lin Dan?” Balbir juga menganggap tindakan Nadzmi melantik Setiausaha Kehormat Ng Chin Chai sebagai pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) juga satu tindakan tidak tepat.

“Tindakannya itu tidak guna, setiap tutur kata dikeluarkannya kosong. Saya hairan mengapa Nadzmi tidak berani melantik Razif Sidek memegang jawatan dalam BAM. Razif bertaraf dunia, beri dia masa dua tahun jika tidak berjaya tukar.

“Sebagai presiden, beliau tidak boleh letakkan perbezaan falsafah sebagai penghalang kemajuan sukan.”



Oleh Mohd Hilmie Hussin, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment