Thursday, June 13, 2013

Azizul kecundang

Kuala Lumpur: Kejutan dicipta pada aksi hari pertama Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan semalam apabila pelumba negara, Azizulhasni Awang yang mewakili Terengganu, tewas acara pecut individu.

Azizulhasni sekadar menamatkan cabaran di tempat keempat, tunduk kepada pelumba muda, Muhd Arfy Qhairant Amran yang mewakili Melaka pada penentuan tempat ketiga selain turut tewas kepada Josiah Ng di separuh akhir.

Atas kertas, Azizulhasni yang pernah merangkul pingat perak acara sama di Kejohanan Dunia 2009 di Poland, dilihat mudah mengungguli acara itu namun senario itu berubah apabila dia gagal meneruskan rentak kayuhan dan terpaksa berpuas hati di tempat keempat, tewas kepada Arfy, 2-0.

Josiah yang beraksi di bawah bendera Sarawak bijak mempertaruhkan strategi untuk membuktikan kayuhan berbisa apabila meraih dua emas.

Dia menewaskan seorang lagi pelumba berpangkalan di Melbourne, Muhammad Edrus Md Yunos dari Perak untuk meraih emas kedua selepas menguasai acara 1 kilometer ujian masa.

“Semua orang menjangkakan saya dan Azizul akan mendominasi perlumbaan ini tapi Arfy yang pada satu masa dulu hampir terkeluar daripada skuad ini membuktikan dia mampu menyerlah. “Kejohanan ini memberi petanda kebangkitan barisan pelumba muda.

Saya bangga melihat kebangkitan pelumba muda di kejohanan kebangsaan dan jika mereka terus berjuang pasti ada pengganti saya dan Azizul,” katanya. Hari ini, Josiah dan Azizulhasni sekali lagi bakal bertemu untuk membuktikan siapa di antara mereka jaguh acara keirin. Kali terakhir kedua-dua pelumba ini bertemu di Kejohanan Trek Berbasikal Grand Prix Asia Tenggara 2013, Isnin lalu, menyaksikan kemenangan berpihak kepada Azizulhasni yang menduduki tempat ketiga manakala Josiah, kelima.

Sementara itu dalam aksi wanita elit, Fatehah Mustapa nyata tiada tandingan apabila mudah merangkul emas acara 500m ujian masa dan pecut.

Fatehah yang mewakili Terengganu tidak menghadapi masalah meraih emas kategori pecut apabila mengalahkan Lauretta Eva Adrian dari Perlis dengan 14.009s dan 13.657s.



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment