Monday, June 10, 2013

Atlet Angkat Berat Negara Pecah Empat Rekod Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Skuad angkat berat negara memecahkan empat rekod kebangsaan bagi kategori wanita bawah 69kg dan kategori atas 75kg menerusi Nor Khasida Abdul Halim dan Nur Jannah Batrisyah pada Kejohanan Angkat Berat Terbuka Malaysia 2013 yang berakhir Ahad.

Penolong jurulatih skuad angkat berat Negara, Mohd Faizal Baharom berkata bagi kategori bawah 69kg, Nor Khasida memperbaharui tiga rekod kebangsaan menerusi disiplin 'snatch' dengan angkatan 82kg dan acara 'clean and jerk' dengan angkatan 103kg.

Rekod ketiga beliau ialah jumlah angkatan bagi kedua-dua acara berkenaan iaitu 185 kg.

Bagi kategori atas 75kg, Nur Jannah memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 'clean and jerk' dengan angkatan 124kg, mengatasi rekodnya sebelum ini iaitu 123kg.

"Berdasarkan pencapaian itu, saya percaya atlet kita berpotensi memberi saingan hebat dalam Sukan SEA Myanmar akan datang.

"Tidak mustahil untuk kita memperoleh pingat walaupun hampir setahun mereka tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif," kata Mohd Faizal ketika dihubungi Bernama.

Kejohanan angkat berat itu berlangsung selama empat hari sejak Khamis lalu di Kompleks Belia dan Sukan, Batu Uban, Pulau Pinang.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment