Tuesday, June 04, 2013

Annuar puji ketegasan Khairy

Kuala Lumpur: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata, bidang sukan negara memerlukan menteri yang berani bersuara dan tegas seperti ditunjukkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya tindakan Menteri Belia dan Sukan yang baru itu mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) baru-baru ini juga selari dengan tanggungjawabnya.

“Saya yakin pandangan Menteri Belia dan Sukan itu dibuat berdasarkan maklum balas diterima tanpa ditujukan secara langsung kepada mana-mana pihak mahupun individu,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya, semalam.
Pada masa sama Annuar yakin FAM bertindak mengikut peraturan dalam menangani isu berkenaan.

Khairy sebelum ini mempersoal tindakan FAM memberikan hak tuan rumah kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PNBP) bagi perlawanan tertunda separuh akhir kedua Piala FA membabitkan pasukan Johor DT dan Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu, selepas PNBP gagal menangani aspek keselamatan ketika perlawanan asal di Stadium Darul Makmur, Kuantan empat hari sebelum itu.

Khairy juga mempersoal keputusan FAM memperuntukkan 60,000 tiket kepada Pahang pada perlawanan itu.
Kenyataan Khairy menimbulkan rasa kurang senang Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM yang bertitah keputusan badan induk itu dibuat berlandaskan peraturan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment