Thursday, June 06, 2013

‘20 tahun masih sama’


Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sukar membayangkan perubahan positif dalam landskap bolasepak negara ini.

“Mungkin 20 tahun daripada sekarangpun, kita akan hadapi kemelut sama. Kita lebih gemar mengundang pasukan luar seperti Chelsea untuk beraksi di sini tapi mengabaikan pembangunan bakat baru di kalangan belia dan hal-hal kritikal berkaitan bolasepak negara,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, ketika dikenakan tindakan penggantungan selaku presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), beliau dimaklumkan tiada siapapun berada di atas undang-undang dengan segala hukuman dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM. “Tetapi dalam kes Pahang menentang Johor Darul Takzim (separuh akhir Piala FA), hukuman dijatuhkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan. Kita juga tidak diberikan ruang untuk membuat sebarang rayuan atas denda itu. “Pada saya, ini bukan soal kewangan tapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan bolasepak. Ini jelas menunjukkan FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya,” katanya yang digantung enam bulan oleh FAM sebelum ini.

Tunku Ismail berkata, beliau pernah menyuarakan mutu pengadil yang menyebabkan dirinya didenda dan digantung dengan ramai turut menerima nasib sama.

“Mengapa tidak boleh menyuarakan pendapat dan memberi pandangan? Isu penting dalam bolasepak negara harus diberi perhatian dan diketengahkan. “FAM tidak membenarkan persatuan dan individu menyuarakan pendapat atau pandangan. Bagaimana saya hendak memberi pandangan dan berkongsi pendapat berkenaan hal penting.

“Saya sudah menulis surat kepada FAM termasuk surat berkaitan mutu pengadilan namun tidak mendapat maklum balas. Saya menyuarakan pendapat saya kepada media kerana rakyat Malaysia berhak mengetahui situasi sebenar. “Bolasepak bukan entiti persendirian milik mana-mana individu, ia untuk semua lapisan rakyat.” Tunku Ismail mendedahkan, PBNJ kelmarin menerima satu surat amaran supaya tidak membuat lagi sebarang kenyataan media mengkritik FAM.

FotoPENYOKONG Johor DT sentiasa beri sokongan kepada Tunku Ismail.
“FAM hendaklah tidak mengambil kesempatan untuk mengenakan denda kepada PBNJ bagi kenyataan ini, kerana saya mengeluarkannya sebagai Tunku Mahkota Johor dan bukannya selaku presiden PBNJ yang digantung.

“Kenyataan ini bukan bertujuan membelakangkan mana-mana individu atau persatuan bolasepak tapi untuk mengetengahkan isu penting dalam bolasepak tempatan. Sekiranya FAM merasakan perlu mengenakan denda terhadap saya, saya akur.

“Ada yang menasihati saya supaya bertanding untuk jawatan dalam FAM tapi saya ingin menegaskan, saya tidak berminat terhadap sebarang jawatan dalam FAM. “Saya akan mengutamakan Johor dan kerana itu saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam FAM. Saya melakukan semua ini hanya kerana cinta terhadap sukan bolasepak,” katanya yang turut mahu pemegang jawatan FAM telus dan adil.

Tunku Ismail turut menyentuh mengenai bayaran RM15,000 kepada pasukan tuan rumah daripada siaran langsung perlawanan bolasepak oleh Astro namun beliau memaklumkan belum melihat satu senpun daripada hasil itu hingga kini.

“FAM sepatutnya berterima kasih kepada Johor kerana menjadikan arena bolasepak tempatan lebih menarik dan meriah. Setiap perlawanan membabitkan Johor DT mendapat sambutan di stadium dan televisyen. “Syabas juga diucapkan kepada Kelantan, Selangor, ATM dan pasukan lain kerana menambah baik landskap bolasepak tempatan.”



Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment