Tuesday, May 14, 2013

Wajah baharu skuad hoki negara


FIRHAN (kiri) turut mendapat tempat dalam skuad negara yang bakal menampilkan adunan pemain muda dan senior.


BEBERAPA kejutan berlaku dalam barisan pelatih skuad hoki negara yang akan beraksi pada separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru mulai 29 Jun hingga 7 Julai depan.

Dalam senarai 26 pelatih yang diumumkan ketua jurulatih, Paul Revington (gambar kecil) semalam, lima muka baharu telah disenaraikan manakala lapan pemain dalam skuad yang beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah, Mac lalu digugurkan.

Lima pemain tersebut ialah Ahmad Kazamirul Nasruddin, Meor Muhamad Azuan Hassan, Azreen Rizal Nasir, Firhan Ashaari dan penjaga gol, Khairulnizam Ibrahim berjaya memikat hati Revington selepas mempamerkan prestasi yang baik sepanjang saingan Liga Hoki Malaysia 2013.

Namun, apa yang mengejutkan ialah ketiadaan nama kapten skuad remaja negara, Mohd. Noor Faeez Ibrahim yang digugurkan bersama-sama Amir Farid Ahmad Fuzi, Hafifihafiz Hanafi, Jiwa Mohan, Mohd. Sallehin Ghani, Mohd. Syamim Mohd. Yusof, Mohd. Amerullah Aziz dan Shahrin Mohammad.
Turut dikecualikan dalam barisan kali ini ialah bekas penyerang kebangsaan, Ismail Abu yang masih mengalami kecederaan.

Selain daripada itu, lima daripada pelatih tersebut iaitu Faiz Helmi Jali, Mohd. Izad Hakimi Jamaluddin, Fitri Saari dan Firhan Ashaari merupakan pemain skuad remaja yang akan beraksi pada Kejohanan Remaja Dunia di New Delhi, Disember depan.

Revington menjelaskan, misi utama Malaysia pada separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru nanti adalah memenangi salah satu daripada empat tiket kelayakan automatik ke Piala Dunia.
“Kita mungkin berada di ranking ketujuh daripada lapan pasukan yang bertanding pada kejohanan ini tetapi ia bukan satu masalah besar.

“Sasaran utama adalah layak ke Piala Dunia menerusi saingan Liga Hoki Dunia supaya kita tidak perlu bersusah payah untuk memenanginya pada Piala Asia (24 Ogos hingga 1 September) yang turut menawarkan satu tiket automatik,” jelas jurulatih dari Afrika Selatan itu pada sidang akhbar di Bukit Jalil semalam.

Bagi merealisasikannya, skuad negara perlu mencatat kedudukan yang baik dalam saingan peringkat kumpulan dan seterusnya memenangi pertemuan pada peringkat suku akhir untuk layak ke separuh akhir iaitu satu slot automatik ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

Kejohanan yang disertai lapan pasukan ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan ia dilangsungkan dengan format baharu yang mana saingan peringkat kumpulan tidak memberi sebarang makna selain mengatur kedudukan bagi jadual suku akhir.

Selain Malaysia, yang berada di ranking ke-13 dunia, kejohanan ini akan disertai pasukan No. 1 dunia, Jerman, Argentina (10), England (4), Korea Selatan (8), Pakistan (5), Afrika Selatan (12) dan satu lagi pasukan yang akan diumumkan kelak.

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment