Monday, May 20, 2013

Velodrom baru bakal direalisasikan

Kuala Lumpur: Pembikinan velodrom tertutup yang dicanangkan sebelum ini bakal direalisasikan dalam masa terdekat dengan jumlah kos pembinaan dijangka mencecah RM70 juta.
Velodrom itu bakal menjadi kenyataan apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memaklumkan sudah menerima surat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Velodrom itu bakal dibina di Cheras, Kuala Lumpur mempunyai ciri-ciri trek bertaraf Sukan Olimpik, Kejohanan Trek Sedunia dan Klasik Piala Dunia dengan DBKL kini sudah memulakan proses penawaran tender sekali gus membayangkan velodrom tertutup Kategori Satu akan siap dalam tempoh terdekat. Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab menegaskan pembinaan velodrom Kategori Satu satu detik bersejarah buat Malaysia kerana bakal menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang boleh menawarkan diri untuk menganjurkan Kejohanan Trek Dunia dan Klasik Piala Dunia.
“Sebenarnya kita sudah pun menawarkan diri untuk menganjurkan kejohanan Klasik Piala Dunia dan Kejohanan Trek Dunia. Perkara ini sudah dimaklumkan kepada UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa),” katanya.

Buat masa ini DBKL sudah membuka proses tender bagi memanggil syarikat yang berminat menjadi kontraktor bagi membina velodrom itu. Mengulas mengenai velodrom sedia ada di Cheras, Abu Samah berkata, DBKL hanya akan merobohkan satu-satunya velodrom di Lembah Klang itu selepas velodrom tertutup itu siap dibina. Abu Samah yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC), menegaskan UCI sudah menamakan tiga syarikat juru perunding yang berdaftar dengan UCI bagi memastikan velodrom Kategori Satu itu mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang membina sebuah velodrom Kategori Satu di Nilai, Negeri Sembilan.



HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment