Wednesday, May 22, 2013

‘Usah jerat diri sendiri’


Kelana Jaya: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menegaskan kes pemain menerima ugutan bunuh oleh sindiket perjudian harus dijadikan pengajaran buat semua pemain supaya tidak terjebak dengan gejala tidak bermoral itu.
Katanya, tindakan segelintir pemain yang mengambil jalan mudah untuk hidup mewah apabila menerima tawaran bookie bagi mengatur perlawanan jelas memakan diri kerana kehidupan mereka tidak lagi tenteram.

“Saya nak mengingatkan khususnya pemain supaya jangan sesekali mendekati bookie. Apabila pemain melayan bookie inilah akibatnya, ugutan bunuh menggertak untuk menakut-nakutkan keluarga mereka,” kata Tengku Abdullah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Arena Metro semalam mengenai sindiket bookie mengatur perlawanan yang semakin berani apabila sanggup menggugut untuk membunuh beberapa pemain dalam Liga Malaysia (Liga-M) jika ingkar arahan mereka.

Pemain yang didakwa terbabit itu beraksi dengan sebuah pasukan Liga-M dan kini bimbang untuk membuat laporan polis bagi mendedahkan kegiatan bookie itu kerana khuatir terhadap keselamatan diri dan keluarga mereka.

Menurut Tengku Abdullah, pihaknya memandang serius kes itu dan akan mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi mencari jalan penyelesaian.
“Saya baru dimaklumkan dan membaca laporan di akhbar. Saya harap kes ini diambil perhatian pihak berkuasa khususnya polis. Kita akan bekerjasama dengan mereka dan mendapatkan nasihat pelbagai pihak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran kad debit Visa Bank Islam ‘Team Harimau’ di Wisma FAM semalam.

Justeru, Tengku Abdullah berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Majlis Sukan Negara bersama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membincangkan isu bookie itu esok.
Sementara itu BERNAMA melaporkan SPRM kini menunggu laporan rasmi kes terbaru membabitkan bookie itu bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kami akan meneliti aspek rasuah berkaitan perlawanan bola sepak itu tapi hingga kini belum ada laporan lagi,” kata Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan pula berkata, polis sentiasa memantau aktiviti seperti itu dan tindakan akan diambil terhadap pihak terbabit.

Beliau berkata, polis akan mengadakan kerjasama dengan FAM dan SPRM bagi menangani gejala itu.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment