Thursday, May 16, 2013

Tekad Mukhriz



MENTERI Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir (gambar) berkata, beliau berazam untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak ‘Negeri Jelapang Padi’ itu seperti yang pernah dikecapi pada tahun 2007/08 lalu.

Menurutnya, kebajikan pemain dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan dipelihara dengan baik.
Tambahnya, beliau juga akan berusaha untuk menarik penajaan daripada sektor swasta bagi membiayai persatuan yang memerlukan perbelanjaan besar.

“Setelah saya menjadi Menteri Besar, Kedah menang dua perlawanan. Ia sesuatu yang baik untuk pasukan dan Kedah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Exco di Istana Anak Bukit, Alor Setar semalam.

Pada dua perlawanan terakhir lalu, Kedah mengalahkan Sabah 3-2 dan menewaskan Perlis 1-0.
Kedah yang beraksi dalam Liga Premier ketika ini berada di tangga keempat dengan mengutip 30 mata daripada 16 perlawanan.

Mukhriz juga meminta semua pemain agar kekal bersama skuad Hijau Kuning bagi memastikan impian mencapai kegemilangan itu menjadi realiti.
“Biarpun ada tawaran daripada kelab lain, saya berharap pemain sedia ada terus kekal bersama Kedah,” katanya.

Tambahnya, beliau setakat ini belum mengadakan pertemuan dengan pengurusan KFA serta pemain dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
Katanya, beliau juga belum memikirkan sebarang perubahan atau rombakan ke atas KFA dan pengurusannya.

Pada musim 2007/08, Kedah di bawah pengurus pasukan, Datuk Othman Aziz dan ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah meraih juara trebel menerusi kejayaan menjulang piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
syahir.kassim@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment