Tuesday, May 21, 2013

Taiwan, Denmark Dan Jepun Sah Tempat Ke Suku Akhir

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Taiwan, Denmark dan Jepun menempah tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Piala Sudirman 2013 selepas mengalahkan lawan masing-masing pada saingan peringkat kumpulan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini Isnin malam.

Taiwan, yang mengejutkan tuan rumah Malaysia 3-2 semalam, mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mengungguli Kumpulan C apabila mengalahkan Jerman 5-0 pada perlawanan kedua kumpulan.

Pada pertemuan dengan Jerman, beregu campuran, Lu Ching Yao dan Lai Chia Wen memberikan mata pertama untuk Taiwan selepas mengalahkan Michael Fuchs dan Michels Birgit dengan keputusan 13-21, 22-20 dan 23-21.

Hsuen Hsuah Yi menghadiahkan mata kedua menerusi acara perseorangan lelaki apabila mengalahkan Domke Dieter dengan keputusan 22-20, 21-14 manakala mata kemenangan diperolehi menerusi beregu lelaki Lee Sheng Mu dan Tsai Chia Tsin.

Mereka mengalahkan Kindervater Ingo dan Schoettler Johannes, 21-18 dan 21-7.

Juara perseorangan wanita Terbuka Malaysia 2013, Tai Tzu Ying menghadiahkan mata keempat dengan menewaskan Schnaase Karin, 21-15 dan 23-21 sebelum beregu wanita, Cheng Wen Hsing dan Hsieh Pei Chen memastikan kemenangan selesa dengan kemenangan 13-21, 21-16 dan 21-19 ke atas Michels Birgit dan Golsizewski Johanna.

Malaysia pula perlu mengalahkan Jerman dalam aksi terakhir kumpulan esok untuk layak ke suku akhir.

Dalam Kumpulan D, Jepun mengesahkan tempat ke suku akhir apabila menamatkan cabaran Singapura dengan keputusan 5-0.

Jepun akan menentang Denmark Selasa untuk menentukan kedudukan kumpulan.

Denmark turut mengiringi Jepun ke suku akhir daripada kumpulan itu selepas menewaskan Singapura 4-1 semalam.

Dalam saingan kumpulan A, Indonesia mencerahkan peluang ke suku selepas menewaskan India 4-1.

Indonesia akan menentang China Selasa untuk mengesahkan tempat ke suku akhir. Semalam, China membuka kempen dengan menundukkan India 5-0.

Indonesia mengumpul mata pertama menerusi beregu lelaki Angga Pratama dan Saputro Rian Anggun yang mengalahkan Dewalkar Akshay dan Chopra Pranaav Jerry dengan kemenangan 21-13 dan 21-10.

Fanetri Lindaweni menghadiahkan mata kedua untuk Indonesia selepas mengalahkan P.V Sindhu dengan kemenangan 21-15 dan 21-10 sebelum perseorangan lelaki India, Kashyap Parupalli merapatkan jurang kepada 2-1 menerusi kemenangan 21-18 dan 21-14 ke atas Dionysius Hayom Rumbaka.

Beregu wanita, Greysia Polli dan Maheswari Nitya Krishinda memberikan mata keempat Indonesia selepas mengalahkan Ashwini Ponnappa dan Pradnya Gadre, 21-19 dan 22-20.

Ahmad Tontowi dan Lilyana Natsir memastikan kemenangan mutlak Indonesia dengan kemenangan 21-13 dan 21-14 ke atas Arun Vishnu dan Aparna Balan menerusi acara beregu campuran.

Dalam saingan kumpulan B, juara tiga kali, Korea Selatan turut mencerahkan peluang ke suku akhir selepas menundukkan Hong Kong dengan keputusan 4-1.

Hong Kong tersingkir daripada kejohanan itu selepas tewas 2-3 kepada Thailand semalam.

Berdasarkan format kejohanan, hanya dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan yang beraksi dalam Divisyen satu layak ke suku akhir manakala 18 pasukan keseluruhan yang beraksi dalam Divisyen dua dan tiga pula bertanding bagi memperbaiki ranking mereka dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment