Wednesday, May 15, 2013

Selangor intai slot suku akhir


IRFAN BAKTI (kiri) mengakui 'terdesak' untuk menewaskan New Radiant SC pada aksi kalah mati Piala AFC 2013 di Stadium Rasmee Dhandu, Maldives petang ini.


MALE, Maldives - Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim mengakui 'terdesak' untuk menewaskan New Radiant SC pada aksi kalah mati Piala AFC 2013 di Stadium Rasmee Dhandu di sini petang ini.
Irfan berkata, skuad Gergasi Merah mahu meneruskan kemaraan di pentas Asia selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan dengan menewaskan wakil Singapura, Tampines Rovers 3-2 di Stadium Jalan Besar, 30 April lalu.

Bekas pengendali Terengganu itu berkata, beliau yakin persembahan hambar Selangor dalam saingan liga domestik tidak akan akan mengganggu rentak permainan akan-anak buahnya menjelang pertemuan 'hangat' itu.

Selangor kini bertekad untuk mempamerkan persembahan terbaik, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
"Pada pusingan kedua (Piala AFC), kami datang sejauh 3,000 kilometer dengan membawa nama Malaysia. Jadi, kami mahu memenangi perlawanan ini kerana ini adalah pusingan kalah mati dan tidak ada aksi timbal balik (hanya satu perlawanan).

"Pencapaian kami dalam saingan liga domestik (Liga Super) tidak begitu memberangsangkan, namun apabila beraksi di pentas Asia, kami layak ke pusingan ini berdasarkan perbezaan jaringan dengan kelebihan tujuh mata.

"Kami bertuah kerana layak ke pusingan kalah mati dan saya fikir, kali ini Selangor dapat mara ke pusingan seterusnya (suku akhir). Saya yakin dengan kebolehan pemain-pemain saya kerana kesemua pemain saya boleh beraksi esok (hari ini)," katanya pada sidang akhbar di Stadium Rasmee Dhandu semalam.

Dalam perkembangan sama, Irfan turut menggesa pemain-pemain, terutamanya benteng pertahanan skuad Gergasi Merah supaya lebih berwaspada dengan ancaman pemain sayap New Radiant.
Jurulatih kelahiran Perak itu berkata, tonggak pertahanan Selangor harus mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit perlawanan selain mengharapkan jentera serangan tidak mempersia-siakan peluang terhidang.

Irfan enggan barisan pemain Selangor mengulangi kesilapan sama ketika tewas kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) pada saingan Piala FA menerusi penentuan sepakan penalti meskipun mendahului lebih awal.

"Kami mengetahui bahawa New Radiant merupakan sebuah pasukan yang kuat. Mereka telah menewaskan wakil Indonesia, Persibo Bojonegoro 7-0 ketika di padang lawan dan sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan pasukan sama 6-1 di laman sendiri.
"Jadi, kami harus berwaspada dengan ancaman mereka untuk 10 minit pertama permainan.
"Apa yang saya tahu, mereka (New Radiant) memiliki pemain sayap yang cukup baik. Jadi, kami perlu mengekang pergerakan mereka.

"Selain itu, mereka turut memiliki beberapa pemain yang pantas selepas saya melihat aksi mereka dalam satu rakaman video."

"Perlawanan ini hanya sekali sahaja dan kami akan menyerang. Begitu juga dengan mereka.
"Kami tidak boleh tunggu untuk masa tambahan atau sepakan penalti kerana kami telah belajar daripada pengalaman yang lalu dan kami akan menyerang untuk mendapatkan gol," katanya.

Artikel Penuh: KOSMO

No comments:

Post a Comment