Tuesday, May 21, 2013

‘Saya tak tahu masalah mereka’


Kuala Lumpur: Apa sebenarnya yang bermain di fikiran Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sukar untuk ditafsirkan pelumba negara, Anuar Manan apabila sering diketepikan setiap kali tibanya kejohanan 'one day race' dan dilabelkan sebagai pelumba yang gagal bersaing dalam kategori perlumbaan itu.

Anuar yang pernah dinobatkan sebagai raja pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 2010 tidak tahu apakah masalah sebenar PKBM kerana berdasarkan sejarah pada penyertaan lalu, dia sudah membuktikan bahawa dia adalah pelumba terbaik negara. Justeru sekiranya disenaraikan semula ke dalam skuad lebuh raya negara untuk merampas kembali pingat emas pada temasya Sukan SEA Myanmar, Anuar bertekad untuk membuktikan keupayaannya sebenarnya.

“Saya tidak tahu apa masalah mereka. Jika mengikut penyertaan lalu, saya sudah membuktikan saya adalah pelumba terbaik negara jika beraksi dalam perlumbaan 'one day race'. Sebagai contoh, di ACC 2010 (Kejohanan Berbasikal Asia) yang berlangsung di UAE (Emiriyah Arab Bersatu) saya pelumba terbaik negara yang terlebih dulu melepasi garisan penamat apabila menduduki tempat ke-15 daripada 85 pelumba.

“Di Sukan Asia Guangzhou 2010 juga saya masih lagi menjadi pelumba terbaik negara. Saya mampu melakukan pemecahan berseorangan tanpa bantuan rakan senegara, Adiq Husainie Othman yang tidak beraksi kerana sakit perut.

“Pada ACC 2009 di Indonesia, saya juga sudah membuktikan kemampuan saya apabila berjaya mendahului saingan sebelum rantai terputus pada baki dua pusingan terakhir,” katanya. Menerusi bukti diberikan, Anuar tidak pasti mengapa dia dikatakan gagal menyerlah pada aksi 'one day race' itu sekali gus menyaksikan namanya digugurkan ketika ACC 2011 di Korat dan 2012 di Kuala Lumpur selain langsung tidak disenaraikan ketika ACC 2013 di New Delhi.

Kali terakhir skuad lebuh raya negara membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan SEA 2005 Manila menerusi Suhardi Hassan selain turut berjaya dalam kategori wanita menerusi Norazian Alias. Ditanya siapakah gandingan terbaik yang mampu menguatkan barisan pelumba negara dalam usaha meraih emas, pelumba Synergy Baku Cycling berkata, kekuatan yang dimiliki Adiq, Amir Mustafa Rusli, Loh Sea Keong, Mohamad Fauzan Ahmad Lutfi dan Zamri Saleh mampu menjadikan skuad negara digeruni.



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment