Thursday, May 23, 2013

Salah BAM, jurulatih


Kuala Lumpur: Kalah tetap kalah dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta barisan kejurulatihan mesti mengaku mereka menempa satu lagi kegagalan, gara-gara terlalu bangga dengan satu nama, Datuk Lee Chong Wei.

Begitupun, ketika Chong Wei berada di penghujung kerjaya, BAM seharusnya bijak melahirkan lebih ramai pemain untuk dijadikan pendinding baru mereka, bukan berterusan memperkatakan mereka tidak gagal kerana pernah melahirkan Chong Wei, pemain paling lama menakluk takhta nombor satu dunia.

Ketua jurulatih Rashid Sidek umpama baru menyedari yang dalam acara berpasukan terutamanya pasukan campuran seperti Piala Sudirman ini, pemain semua kategori perlu memiliki kekuatan seimbang, bukannya mengharapkan satu dua pemain saja.

Ironinya kekuatan pemain dalam setiap kategori, sememangnya perlu dalam Piala Sudirman, bukan hanya pada edisi ke-13 ini dan barisan kejurulatihan yang pernah bergelar pemain di zaman mereka juga semestinya tahu apa yang kurang pada pasukan sebelum ini, namun adakah pengalaman mereka dulu dijadikan pengajaran? “Ini pengajaran buat kita. Untuk kejohanan akan datang, kita perlu kuatkan lagi pemain beregu dan perseorangan wanita kerana kita tidak boleh bergantung kepada perseorangan lelaki, beregu lelaki dan campuran kerana apa yang berlaku di kejohanan ini, apabila salah satu mata tercicir, kita tidak mampu menang,” kata Rashid merumuskan kegagalan skuad negara yang tersingkir di peringkat kumpulan Piala Sudirman kelmarin, ketika kejohanan berlangsung hingga Ahad ini.

Kelemahan paling ketara perseorangan wanita, apabila BAM menyenaraikan Sonia dan Lydia Cheah serta Tee Jing Yi.

Sememangnya harapan menjelmakan mata menerusi tiga pemain ini tidak nampak tanda-tandanya, namun dalam tiada harapan itu, nama pemain senior iaitu Lydia yang tidak pernah menunjukkan prestasi baik di peringkat antarabangsa masih tersenarai, sesuatu yang boleh dipersoalkan.

“Kebanyakan pemain perseorangan wanita, apabila sampai pada satu tahap prestasi dan kualitinya menjadi statik. Jika dipaksa dengan latihan berat akan menyebabkan kecederaan terutamanya kaki dan lutut.

“Bukannya mental tidak kuat tapi fizikal mereka ada masalah,” kata Rashid.

Ketika ditanya mengapa barisan pemain sama tersenarai dalam acara berpasukan kali ini sedangkan barisan kejurulatihan menyedari beberapa pemain tiada kualiti, Rashid berkata: “Pemain yang kita ada dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan bermain sejak peringkat sekolah lagi.

“Itulah yang kita ada dan kita menerima pemain yang tidak mencapai tahap yang kita mahukan.” Kenyataan Rashid ada benarnya jika dilihat pada persembahan Jing Yi namun siapa yang bertanggungjawab memilih pemain sebegini untuk diserap ke skuad kebangsaan? Selepas kekalahan kepada Jerman kelmarin, Rashid bagaikan menjadi dinding skuad untuk dihentam bola bersendirian ketika ketua jurulatih beregu, pengurus pasukan mahupun pengurusan BAM tidak turut sama tampil ke sidang media.

Tidak timbul isu pemain tiada semangat sepasukan untuk memenangi perlawanan di kejohanan ini kerana jurulatih juga bersikap demikian.



Oleh Mohd Hilmie Hussin, ARENA - HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment