Tuesday, May 28, 2013

PKBM Pelawa Semua Pelumba Termasuk Anuar Sertai Pemilihan Ke Sukan SEA 2013

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mempelawa semua pelumba negara termasuk pelumba profesional Anuar Manan menyertai tiga sesi perlumbaan khas pada Oktober ini untuk disenarai ke Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata semua pelumba yang memegang lesen dikeluarkan badan induk itu layak menyertai sesi pemilihan khas tersebut.

Sesi perlumbaan khas bagi menyertai acara lepas beramai-ramai, ujian masa individu dan ujian masa berpasukan kategori elit pada temasya itu akan diadakan antaranya di lokasi seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands, katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Pelumba profesional lain seperti Mohd Adiq Hussainie Othman (Champion System Pro Cycling), Amir Mustafa Rusli (Drapac Profesional Cycling Team) dan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) termasuk Saufi Mat Senan, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Zamri Salleh serta Mohd Harrif Salleh juga dipelawa menyertai sesi pemilihan khas itu.

"Saya sangat menghargai impian Anuar (pelumba Synergy Baku Cycling Project) yang mahu hadiahkan pingat emas kepada Malaysia. Semangat ditunjukkan Anuar bukti dia seorang pelumba hebat," katanya.

Minggu lepas, Anuar yang melakar sejarah muncul pelumba Malaysia pertama menyarung jersi hijau selaku Raja Pecut pada Le Tour de Langkawi 2010, berjanji akan menghadiahkan pingat emas jika tersenarai ke Sukan SEA 2013.

Abu Samah berkata keputusan mengadakan sesi perlumbaan khas itu dibuat selepas berakhirnya Kejohanan Pra-Sukan SEA 2013 di Naypyitaw selama empat hari bermula 20 Mei lepas yang menyaksikan pasukan lebuh raya kebangsaan meraih satu pingat emas dan empat perak.

Abu Samah, yang juga Pengerusi Teknikal Bagi Acara Berbasikal Sukan SEA 2013, bagaimanapun menyifatkan impian pasukan Malaysia untuk mengakhiri kemarau pingat emas sejak Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand sebagai satu impian setinggi Gunung Everest.

"Acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Sukan SEA 2013 akan melibatkan pendakian dua gunung yang berbeza. Pendakian pertama setinggi hampir 1,000 meter manakala pendakian kedua melepasi 1,200 meter. Ia umpama pendakian dua gunung Baguio pada Jelajah Filipina pada era 90-an," katanya.

Abu Samah, yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Asia (ACC), berkata Malaysia harus memilih pendaki yang hebat dan beliau percaya Anuar merupakan calon terbaik bagi menggalas cabaran itu.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment