Thursday, May 09, 2013

Persatuan Sukan Perlu Amal Sikap Terbuka Terima Kritikan - Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Persatuan sukan harus mengamalkan sikap yang lebih terbuka untuk menerima kritikan mahupun cadangan bagi memperbaiki prestasi setiap atlet, kata bekas Menteri Belia dan Sukan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Annuar, yang juga bekas Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkata prestasi atlet bukan sahaja dipantau oleh jurulatih, pengurus pasukan mahupun presiden persatuan sukan terbabit, tetapi juga sentiasa menjadi perhatian umum.

" Masyarakat Malaysia sudah bijak dan mereka pandai menilai apa yang baik untuk sukan yang diminati mereka. Kita (persatuan sukan kebangsaan) perlu menerima hakikat ada juga peminat sukan yang lebih mengetahui keupayaan atlet berbanding jurulatih," katanya.

Annuar, yang pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan dari 1990 hingga 1993, memberitahu pemberita demikian selepas menjadi panel Forum Kebebasan Bersuara Dalam Arena Sukan anjuran pelajar tahun tiga Sarjana Sains Sukan (Pengurusan) Universiti Malaya di sini, Rabu.

Beliau berkata persatuan sukan perlu menerima pandangan serta idea daripada orang ramai agar mutu sukan dapat diperbaiki ke tahap yang lebih baik.

"Kita perlu menerima bahawa kritikan ialah realiti dunia sekarang kerana banyak faedah yang kita perolehi apabila menerima kritikan daripada orang ramai," kata Annuar, yang digantung selama dua tahun enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Februari tahun lepas.

Beliau didapati bersalah membuat kenyataan akhbar berbaur negatif mengenai prestasi skuad bola sepak kebangsaan pada Februari tahun lepas.

Kenyataan Annuar itu turut disokong oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi yang berkata kebebasan menyuarakan pendapat sering disalah ertikan oleh persatuan sukan hari ini.

"Pada kebiasaannya, setiap cadangan atau komen terhadap mana-mana ahli persatuan atau persatuan itu sendiri perlu dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang persatuan.

Bagaimanapun, beliau berkata sudah tiba masa untuk persatuan sukan menerima perubahan khsusunya dalam soal kebebasan bersuara.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment