Friday, May 17, 2013

Perenang Muda Kejut Perenang Pujaan Daniel Bego

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Perenang muda Lim Ching Hwang dari Selangor membuat kejutan apabila mengalahkan idolanya, perenang negara Daniel Bego dalam acara kegemarannya pada Kejohanan Terbuka Malaysia di Khamis.

Perenang berusia 16 tahun itu mencatatkan masa 51.32 saat dalam acara 100m gaya bebas lelaki di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil.

Beliau memiliki kelebihan 0.10 saat dengan Daniel, 23, yang merangkul pingat perak dengan masa 51.42s manakala gangsa disandang oleh perenang Hong Kong, Ng Chun Nam dengan masa 51.95s.

"Ini adalah kali pertama saya berenang sebelah-menyebelah dengan Daniel. Saya selalu memujanya dan beliau adalah idola saya dalam sukan renang.

"Ini seperti satu penghormatan bagi saya untuk berenang bersama beliau. Daniel kembali mantap selepas pembedahan bahunya," kata Ching Hwang.

Ia juga kegembiraan berganda bagi anak muda itu selepas catatan masanya telah melepasi masa kelayakan 51.46s bagi kategori A untuk ke Sukan Olimpik Remaja 2014 di Nanjing, China, tahun depan.

Ching Hwang juga merangkul pingat emas keduanya apabila berganding bersama Wong Tzi Rok, Shaun Yap dan Chan Jie dalam acara 4x100m rampaian.

Kejohanan hari pertama itu turut menyaksikan dua rekod kejohanan diperbaharui.

Perenang negara Siow Yi Ting memperbaiki rekod 1:11.08s oleh Christina Loh tahun lepas apabila mencatatkan masa 1:10.73s dalam acara 100m kuak dada.

Perenang India, Sandeep Sejwal turut mencipta rekod apabila memadamkan rekod sendiri 1:03.05s dalam acara 100m kuak dada lelaki pada tahun lepas dengan catatan terbaru 1:02.74s.

Sebanyak 10 pingat emas dipertandingkan pada hari kedua esok.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment