Tuesday, May 28, 2013

Peluang Anuar rebut tempat

Kuala Lumpur: Rintihan Anuar Manan berhubung sikap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang mengenepikannya sebagai calon pilihan ke Sukan SEA, akhirnya didengari.
Anuar yang kini beraksi bersama pasukan benua, Baku Cycling Project akan dipanggil untuk sesi pemilihan khas yang akan diadakan PKBM sebelum senarai akhir pelumba negara bagi menyertai acara lebuh raya, ujian masa individu (ITT) dan ujian masa berpasukan (TTT) kategori elit lelaki, diumumkan.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, semua pelumba yang memegang lesen dikeluarkan badan induk itu layak menyertai sesi pemilihan dan antara lokasi dikenal pasti membabitkan pendakian di Genting Highlands serta Cameron Highlands.
Katanya, bukan hanya Anuar akan dipanggil, malah semua pelumba Adiq Hussainie Othman (Champion System Pro Cycling), Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycing Team) dan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) termasuk Saufi Mat Senan, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Zamril Salleh serta Mohd Harrif Salleh akan turut dipelawa menghadiri sesi pemilihan itu.

“Saya hargai hasrat Anuar menamatkan kemarau pingat negara acara lebuh raya. Semangat ditunjukkan Anuar itu menunjukkan dia pelumba hebat dan kami akan menjemputnya untuk menyertai tiga pemilihan itu,” katanya.

Anuar sebelum ini meluahkan kekecewaannya kerana diketepikan PKBM tanpa sebab biarpun sudah membuktikan dia antara pelumba terbaik negara dalam aksi ‘one day race’.
Mengulas laluan ujian iaitu pendakian ke Genting Highlands serta Cameron Highlands, Abu Samah berkata, ia dipilih berdasarkan laluan pada temasya itu nanti yang akan membabitkan dua pendakian.

“Pada temasya Sukan SEA, pelumba perlu melepasi dua pendakian. Pendakian pertama membabitkan laluan setinggi 1,000m manakala pendakian kedua lebih daripada 1,200m. “Malaysia perlu memilih pelumba yang berkeupayaan mendaki dan biarpun Anuar lebih dikenali sebagai pakar pecut, dia masih berpeluang memenangi pingat emas kerana laluan selepas pendakian ada yang landai dan pelumba perlu berkayuh sejauh 21 kilometer lagi sebelum ke garisan penamat,” katanya.
Abu Samah yang juga Pengerusi Teknikal Bagi Acara Berbasikal Sukan SEA 2013 meletakkan harapan tinggi buat pasukan negara membawa pulang pingat selepas kali terakhir meraih emas pada Sukan SEA 2005 menerusi Suhardi Hassan dan Norazian Alias.



Harian Metro

No comments:

Post a Comment