Wednesday, May 22, 2013

Najib Ucap Tahniah Kepada Empat Anak Felda Berjaya Tawan Gunung Everest


KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada empat anak Felda atas kejayaan mereka menawan Gunung Everest Selasa.

Perdana Menteri berkata kejayaan pendaki 'Everest Felda 2013' bersama dua jurulatih itu memberi inspirasi kepada seluruh warga Felda.

"Tahniah kepada empat anak Felda dan dua jurulatih mereka yang berjaya tawan Gunung Everest hari ini. Kejayaan ini adalah inspirasi kapada seluruh warga Felda," katanya dalam tweet beliau hari ini.

Menurut sumber, pendaki termuda Mohd Nasuha Shamsuddin, 21, menawan Gunung Everest pada ketinggian 8,848 meter dari paras laut pada 8.31 pagi waktu Nepal (2.05 pagi waktu Malaysia).

Ini diikuti Mohamad Asyraf Mohd Halim, 25, pada 8.48 pagi (3 pagi waktu Malaysia) dan Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, pada 9.11 pagi (3.25 pagi waktu Malaysia).

Mereka merupakan sebahagian daripada lima anak Felda dari Negeri Sembilan, Johor dan Pahang yang terbabit dalam ekspedisi 'Everest Felda 2013', anjuran Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B).

Ekspedisi yang bermula sejak 2 April lepas itu turut mendapat kerjasama Majlis Belia Felda dan Felda Global Venture Holding (FGVH).



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment