Thursday, May 02, 2013

Naim mahu rehat

Sukan berbasikal negara bakal kehilangan tokoh berwibawa yang berjaya mengangkat sukan itu di pentas antarabangsa apabila Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad tidak berhasrat meneruskan khidmatnya selepas berakhir penggal 2012-2015.
Naim yang dipilih pada penggal baru bermula tahun lalu, menjelaskan beliau tidak akan menawarkan dirinya untuk dicalonkan untuk pemilihan akan datang.

“Bukan saja tidak berminat memegang jawatan dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM), malah dalam PKBM saya sudah memaklumkan ini menjadi penggal terakhir dan tidak akan menawar diri untuk dicalonkan sekali lagi dalam pemilihan akan datang,” katanya.


Naim berkata usaha yang dilakukan untuk membawa balik pingat emas Sukan Olimpik 2012 terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila turut menjejaskan tahap kesihatannya termasuk menjalani pembedahan jantung, angioplasty. Beliau sebelum ini turut meletak jawatan sebagai pengurus skuad trek negara selepas kegagalan meraih pingat emas di London kerana rasa tanggungjawabnya.

“Namun sebelum saya bersara, saya akan membantu usaha memperkukuhkan kedudukan pelumba trek negara di peringkat dunia khususnya dalam memenangi pingat emas di Olimpik Rio 2016, mengembalikan semula kegemilangan berbasikal lebuh raya selain meletakkan berbasikal bukit, BMX dan sebagainya pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Pendirian Naim pastinya menimbulkan kegelisahan banyak pihak terutamanya dalam kepimpinan PKBM yang kini diterajui Datuk Abu Samah Wahab apabila pernah menyatakan Timbalan Presidennya itu adalah antara calon yang berkaliber menggantikannya terutamanya dalam misi memimpin pelumba negara ke Olimpik Rio.

Malah Abu Samah yang sudah memegang jawatan itu sejak 1990 turut mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa penggal ini juga adalah yang terakhir untuk dirinya menerajui badan induk sukan berbasikal negara itu.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment