Thursday, May 16, 2013

Mukhriz Berazam Tingkatkan Prestasi Sukan Bola Sepak Kedah


ALOR SETAR, 15 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Kedah yang baharu Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berazam untuk meningkatkan kembali prestasi sukan bola sepak di negeri ini yang kini semakin merudum.

Katanya beliau akan memastikan pasukan bola sepak Kedah kembali cemerlang dengan memenuhi keperluan pasukan sebaik mungkin termasuk dalam soal penajaan daripada pihak swasta.

" Kita akan bantu perbelanjaan pasukan...biasalah mana-mana pasukan bola sepak makan belanja tinggi. Kita nak pemain-pemain kita kekal dalam pasukan walaupun tahu ada tawaran-tawaran yang mereka terima daripada pasukan lain... atas semangat Kedah mereka kekal bersama kita," katanya pada sidang media rasmi pertamanya selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Istana Anak Bukit di sini Rabu.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memastikan soal kebajikan mereka akan dijaga sebaik mungkin.

" Kalau tak setaraf negeri-negeri kaya...sekurang-kurangnya yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan di atas padang bola," katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu melihat rombakan ke atas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mukhriz berkata perkara itu belum diputuskan lagi.

Jawatan Presiden KFA kini dipegang bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menyandang jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 berikutan perlembagaan KFA menetapkan Presiden persatuan itu adalah Menteri Besar Kedah.

KFA telah mengubah perlembagaan baharu pada 2010 di mana jawatan Presiden dan eksekutif KFA bukan lagi automatik atau dilantik seperti dahulu iaitu Menteri Besar Kedah secara automatik adalah Presiden KFA, sebaliknya semua jawatan dipertandingkan.

Pimpinan KFA yang diterajui kerajaan PAS sejak 2008 mendapat kritikan hebat peminat bola sepak negeri ini berikutan prestasi buruk termasuk terpaksa beraksi dalam Liga Perdana musim ini.

Ketika dibawa BN sebelum PRU12, pasukan Kedah pernah gah dengan menjulang tiga piala Liga Malaysia dua musim berturut-turut pada 2006/2007 dan 2007/2008.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment