Thursday, May 30, 2013

MSN Tiada Halangan Song Hwa Beralih Ke Acara Berbasikal - Zolkples

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai halangan jika atlet olahraga negara, Tan Song Hwa beralih angin menceburi acara berbasikal, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong.

Beliau berkata yang penting pemenang pingat emas acara baling tukul besi pada Sukan SEA 2011 di Indonesia itu dapat mengembangkan bakatnya dalam sukan serta meraih banyak kejayaan untuk negara dalam acara baharu tersebut.

Bagaimanapun, keputusan sama ada Song Hwa akan beralih ke acara berbasikal belum diputuskan kerana fokus atlet itu kini kepada Sukan SEA 2013 di Myanmar Disember inui, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Song Hwa sebelum ini mengikuti program 'Ride with Pride' anjuran Institut Sukan Negara (ISN) yang telah menguji 90 atlet, namun hanya tiga atlet berpotensi menjadi pelumba basikal kompetitif.

Program tersebut yang diadakan hujung tahun lepas merupakan inisiatif ISN untuk melahirkan lebih ramai pelumba basikal negara sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Mengenai jurulatih khusus untuk Song Hwa dalam acara baling tukul besi, Zolkples berkata mereka menawarkan kontrak kepada jurulatih China, Gu Yuan, tahun lepas tetapi beliau tidak dapat menerimanya kerana masih terikat dengan pasukan Thailand.

Mengulas insiden kekecohan pada perlawanan separuh kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam, beliau berkata semua pihak perlu mengutamakan keselamatan pemain dan penonton.

Selain aspek keselamatan, katanya pihak penganjur perlu menitikberatkan aspek pengurusan.

Perlawanan tersebut ditunda berikutan kehadiran kira-kira 40,000 penonton berbanding kapasiti tempat duduk sebanyak 35,000 sehingga timbul kekecohanan antara penyokong kedua-dua pasukan itu.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment